
Naib Presiden PBB Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Chong membuat tawaran dalam ucapannya di Dewan Undangan Negeri pada 2017.
Beliau berkata jika PH mengambil alih kerajaan persekutuan, 50% daripada cukai yang dikutip dari Sarawak akan dikembalikan dan royalti 20% dibayar atas pengeluaran minyak dan gas.
“Dia juga berkata selepas tawarannya itu tidak diterima oleh kerajaan negeri, mereka tidak boleh berpatah balik dan meminta tuntutan ini,” katanya.
Bagaimanapun, Jumaat lalu, Chong berkata hasil cukai dan royalti minyak dijangka disalurkan ke negeri itu bagi pendidikan dan penjagaan kesihatan tetapi ditolak gabungan parti pemerintah Gabungan Parti Sarawak.
“Mereka mahu wang itu digunakan untuk apa sahaja tujuan yang mereka mahu dan bukan hanya untuk penjagaan kesihatan dan pendidikan. Ini tidak boleh diterima, terutamanya memandangkan rekod kerajaan Sarawak membelanjakan sebanyak yang mereka mahukan,” katanya.
Bagaimanapun, Karim berkata Chong kini memberi pelbagai alasan untuk “melarikan diri” daripada menunaikan janji pilihan raya selepas PH berkuasa.
Chong juga cuba menyalahkan GPS atas ketidakupayaannya memenuhi segala janji, kata Karim.
“Dia mesti fikir bahawa pemimpin negeri dan rakyat cukup bodoh untuk dipermainkan.”
“Siapa dia ketika dia berjanji? Adakah dia mendapat mandat dari PH untuk membuat tawaran itu? PH tidak menjadi kerajaan persekutuan pada masa itu, jadi apa lokus standi atau kuasanya untuk membuat janji-janji seperti itu?” soal Karim.
Bagaimanapun, beliau berkata rakyat Sarawak mahu melihat janji-janji yang dibuat Chong dipenuhi, jika tidak rakyat akan menggambarkannya sebagai pembohong dan tidak sesuai untuk memegang jawatannya sekarang.