Lebih 3,000 jenayah seksual terhadap kanak-kanak ke mahkamah dari 2017 hingga Ogos

Lebih 3,000 jenayah seksual terhadap kanak-kanak ke mahkamah dari 2017 hingga Ogos

Menteri Undang-undang Liew Vui Keong berkata sejumlah 1,131 kes disabit kesalahan.

KUALA LUMPUR:
Sejumlah 3,738 kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak dibawa ke mahkamah sejak 2017 hingga Ogos tahun ini, kata Menteri Undang-undang Liew Vui Keong di Dewan Rakyat hari ini.

Daripada jumlah itu, Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 973 dalam tempoh yang sama, diikuti Putrajaya (680) dan Sarawak (338).

Liew juga mendedahkan sejumlah 1,131 kes disabitkan bawah Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 antara 2017 dan Ogos tahun ini.

Sebanyak 387 kes disabitkan di Putrajaya.

Liew menjawab pertanyaan Azalina Othman (BN-Pengerang) yang mahukan pecahan angka kes-kes yang dibawa ke mahkamah sejak akta itu dikuat kuasa dua tahun lepas.

Beliau juga berkata terdapat beberapa cabaran dalam mengendalikan jenayah seks terhadap kanak-kanak, termasuk kemajuan teknologi yang merumitkan lagi kerja pendakwa raya.

Liew berkata mengendalikan saksi-saksi kanak-kanak semasa perbicaraan memerlukan banyak kesabaran dan kepakaran.

“Saksi kanak-kanak ini merupakan golongan yang sensitif yang memerlukan perhatian yang rapi. Dimana ada kalanya saksi kanak-kanak enggan dan sukar untuk memberi keterangan di dalam mahkamah.

“Ini menyulitkan timbalan pendakwa raya untuk mengendalikan perbicaraan.”

Liew berkata kredibiliti kanak-kanak dalam memberikan keterangan sering dipertikaikan, sementara banyak keterangan mereka tidak jelas.

“Terdapat juga mangsa yang masih bayi yang tidak dapat memberi keterangan bagi membuktikan orang kena tahan adalah orang yang telah melakukan jenayah seksual terhadapnya sama ada keterangan langsung ataupun tidak langsung.”

Liew juga mengeluh kadang-kadang, rakaman video testimoni oleh seorang kanak-kanak tidak boleh dibuat kerana peralatan rosak.

Beliau berkata terdapat mangsa dan keluarga enggan meneruskan kes dan menarik balik laporan polis.

Menjawab soalan tambahan Azalina sama ada Putrajaya ingin mengadakan suatu protokal kebangsaan untuk membantu hakim-hakim, pendakwa raya, dan polis menjalankan pemeriksaan yang lebih progresif, Liew menjawab:

“Ia idea yang baik, saya ambil maklum.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.