Kementerian Sumber Manusia arah Utusan bayar gaji Sept dan Okt sekali gus

Kementerian Sumber Manusia arah Utusan bayar gaji Sept dan Okt sekali gus

Utusan Melayu yang menutup operasi awal bulan ini juga diarah membayar penuh bayaran pampasan Skim Pemisah Sukarela (VSS) kepada pekerja terlibat dalam proses pemberhentian tahun lalu.

Utusan Melayu yang beroperasi sejak 80 tahun lalu mengakhiri operasi sejak awal bulan ini.
PETALING JAYA:
Kementerian Sumber Manusia mengarahkan Utusan Melayu (M) Berhad, yang menutup operasi awal bulan ini, membayar penuh bayaran pampasan Skim Pemisah Sukarela (VSS) kepada pekerja-pekerja terlibat dalam proses pemberhentian tahun lalu.

Pada masa yang sama, syarikat itu diarah membayar gaji dua bulan terakhir iaitu Sept dan Okt sekali gus kepada semua pekerja yang masih dalam perkhidmatan iaitu sehingga 30 Okt ini.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Kementerian Sumber Manusia berkata, bagi memastikan nasib semua pekerja terlibat tidak terabai, jabatan itu turut menyarankan agar UHY Advisory, selaku pelikuidasi interim dan Utusan Melayu bekerjasama dengan Pejabat Tenaga Kerja Kuala Lumpur untuk menjalankan program peluang pekerjaan dan memberi khidmat nasihat kepada pekerja tersebut.

“Kerjasama ini termasuklah membuka booth JobsMalaysia, penglibatan Perkeso melalui penawaran Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), penyelarasan bayaran pinjaman di bawah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kewangan (AKPK) serta penyertaan dalam Program Karnival Kerjaya yang akan diadakan dalam masa terdekat,” kata jabatan itu.

Katanya, UHY Advisory (KL) Sdn Bhd akan mengadakan satu sesi taklimat kepada semua pekerja pada 30 Okt berhubung tindakan-tindakan diambil untuk membantu para pekerja yang terlibat dalam pemberhentian kerja ini.

Pada 9 Okt lalu, Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu, Abd Aziz Sheikh Fadzir berkata berhenti operasi berkuat kuasa pada tarikh itu susulan keputusan lembaga pengarahnya meluluskan cadangan penggulungan sukarela pemiutang dan seterusnya meluluskan pelantikan UHY Advisory sebagai pelikuidasi interim.

Pekerja termasuk wartawan dimaklumkan hari ini sebagai hari terakhir mereka bekerja dan tarikh akhir perkhidmatan adalah pada 31 Okt.

Susulan masalah kewangan difahamkan Utusan Melayu gagal membayar pampasan VSS mengikut tempoh ditetapkan. Gaji bulan Sept dan Okt juga dikatakan tertangguh.

JTKSM berkata, pihaknua telah mengadakan siatan berhubung isu penamatan seramai 815 pekerja Utusan Melayu.

Katanya, hasil siasatan mendapati Utusan menghadapi kemerosotan aliran tunai sejak Mei 2018 dan telah mmengeluarkan Memorandum Pekeliling pada 9 Oktober 2019 yang memaklumkan bahawa semua operasi syarikat berkenaan akan diberhentikan berkuatkuasa pada 9 Oktober 2019.

Utusan telah menawarkan VSS kepada seramai 708 pekerja daripada 1,523 orang pekerja keseluruhannya. Pemberhentian peringkat pertama berkuat kuasa pada 30 Nov lalu.

Kata jabatan itu, syarikat juga berusaha mendapatkan aliran tunai bagi menampung modal melalui penjualan aset-aset syarikat namun gagal.

“Ini menyebabkan syarikat bersetuju melakukan Penggulungan Sukarela Pemiutang di mana UHY Advisory dilantik selaku pelikuidasi interim.”

UHY Advisory telah mengambil alih sepenuhnya syarikat pada 8 Okt lalu dan status pembayaran gaji kepada seramai 815 orang pekerja terlibat dalam pemberhentian pada 9 Okt tidak dapat dipastikan kedudukannya, kata jabatan itu lagi.

“Para pekerja yang terlibat dalam pemberhentian ini turut belum menerima gaji bulan September 2019. Keadaan ini menimbulkan beberapa isu dalam kalangan para pekerja khususnya melibatkan potongan pinjaman bank.

“Pihak pekerja yang diberhentikan akan membuat tuntutan bayaran gaji di Pejabat Tenaga Kerja Kuala Lumpur dalam masa terdekat,” katanya.

JTKSM juga berkata, dalam pertemuan dengan wakil UHY pada 11 Okt, di ibu pejabat JTKSM Putrajaya, telah meminta UHY memastikan semua pekerja yang diberhentikan menerima pampasan yang sewajarnya mengikut peraturan terpakai yang terkandung dalam Akta Kerja 1955 manakala majikan iaitu Utusan diminta mengemukakan Borang Pemberhentian Kerja (PK) dan mengeluarkan Notis Penamatan kepada semua pekerja yang terlibat atau membayar gaji ganti notis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.