
Lys Mousset meledak jaringan pertama beliau bersama The Blades dengan gol pada separuh masa pertama.
Pemain termahal Arsenal, Nicolas Pepe melepaskan peluang untuk menjaringkan gol padang pertamanya bersama Arsenal pada minit ke-21 permainan.
Beliau yang menerima hantaran lintang Sead Kolasinac gagal menolak masuk bola ke dalam gawang Sheffield.
Sembilan minit selepas itu, sepakan sudut diambil Oliver Norwood ditanduk Jack O’Connell sebelum ditolak masuk Mousset ke dalam gawang pelawat menewaskan Bernd Leno untuk meletakkan Sheffield di hadapan.
Kapten Arsenal, Granit Xhaka turut membuat percubaan dari jarak jauh yang menguji kecekapan Dean Henderson, tetapi Sheffield kekal bertahan untuk merakam kemenangan dan memastikan skuad kendalian Unai Emery pulang dengan tangan kosong.
Dengan kekalahan tersebut, Arsenal terlepas peluang untuk merebut empat tempat teratas, ketinggalan dua mata dari Chelsea yang berada di kedudukan keempat.
Penampilan semula Sheffield ke saingan EPL musim ini menyaksikan mereka tidak mahu sekadar melengkapkan 20 pasukan dalam liga tetapi mampu memberi saingan kepada pasukan-pasukan gergasi lain.
Menentang Chelsea, mereka bangkit dari ketinggalan dua gol untuk mengikat kedudukan 2-2 pada akhir perlawanan.
Ketika berdepan Liverpool pula, mereka memberi tentangan sengit sebelum bolos pada minit-minit akhir akibat kesilapan Dean Henderson.
Menentang Arsenal pula mereka mampu mengekang asakan sekalipun pasukan pelawat menguasai permainan.
Kemahiran teknikal David McGoldricks digabungkan dengan kepantasan Mousset di bahagian serangan ternyata memberi masalah kepada barisan pertahanan The Gunners.
Selain itu Arsenal cuma seri ketika menentang Watford dan Manchester United serta tewas kepada Liverpool dan kini Sheffield.
Arsenal cuma menang empat dari 17 perlawanan terakhir di tempat lawan.
Menjadi pemain termahal dalam sejarah Arsenal ternyata satu bebanan yang sukar untuk ditanggung Pepe sejak beliau tiba di Arsenal pada musim panas yang lepas.