Aplikasi Ryde, tiada bayaran hanya ‘carpool’ ke destinasi dituju

Aplikasi Ryde, tiada bayaran hanya ‘carpool’ ke destinasi dituju

Ryde Singapura mengenakan bayaran komisen 9%, namun perkhidmatan Ryde yang bakal diperkenalkan di Malaysia tidak mengenakan sebarang komisen.

Perkhidmatan e-hailing sudah menjadi satu keperluan buat rakyat Malaysia serta seluruh dunia.

Menawarkan servis yang mampu milik serta mudah ditempah antara ciri yang diidamkan pengguna.

Terbaharu, muncul sebuah startup yang menawarkan servis yang sama namun dibangunkan bukan untuk “menjana pendapatan”.

Menawarkan servis perkongsian kereta atau carpool, startup yang dinamakan sebagai “Ryde” dari Singapura ini membolehkan para penumpang berkongsi kereta bersama pemandu yang mahu ke destinasi yang sama.

Pengenalan startup Ryde ini juga dilihat sebagai langkah untuk mewujudkan alam sekitar yang lebih sihat menerusi penggunaan kenderaan secara perkongsian.

Berbeza dengan Ryde Singapura yang mengenakan bayaran komisen sebanyak 9%, perkhidmatan Ryde yang bakal diperkenalkan di Malaysia tidak mengenakan sebarang komisen setakat ini.

Para penumpang cuma perlu menanggung bayaran kos pengangkutan yang rendah dan tol sahaja buat masa ini.

Perkara ini secara tidak langsung membolehkan para pemandu menikmati bayaran yang lebih rendah berbanding servis e-hailing.

Sepanjang empat tahun startup ini ditubuhkan, Ryde sudah berjaya mengumpul 25,000 pemandu yang berminat untuk menjayakan servis ini.

Memandangkan Ryde merupakan aplikasi yang dibangunkan tanpa mengaut keuntungan, para pemandu tidak perlu mendapatkan lesen PSV serta beberapa dokumen yang berkaitan.

Difahamkan beberapa persetujuan telah dibuat bagi membolehkan Ryde beroperasi di Malaysia.

Aplikasi ini sedia dimuat turun di App Store dan Google Play bermula 1 November ini.

Lokasi sekitar Lembah Klang antara yang ditawarkan terlebih dahulu sebelum diperkenalkan di Johor Bahru dan Pulau Pinang.

Melihat kepada konsep komuniti yang diperkenalkan Ryde, agak menarik untuk menyaksikan adakah aplikasi ini mampu memberi kesan kepada syarikat gergasi e-hailing Malaysia iaitu Grab.

Sumber: thevocket.com

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.