Kamarulzaman dilantik CEO KTMB

Kamarulzaman dilantik CEO KTMB

Kamarulzaman Zainal menggantikan Mohd Rani Hisham Samsudin yang menamatkan kontrak perkhidmatannya pada 15 Sept lalu.

Kamarulzaman Zainal mempunyai 21 tahun pengalaman dalam TUDM
KUALA LUMPUR:
Kamarulzaman Zainal dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berkuatkuasa hari ini.

Kamarulzaman, 56, menggantikan Mohd Rani Hisham Samsudin yang menamatkan kontrak perkhidmatannya pada 15 Sept lalu, setelah dua tahun memegang jawatan itu.

Dalam satu kenyataan, KTMB mengalu-alukan kedatangan Kamarulzaman yang mempunyai pengalaman memegang pelbagai jawatan selama 21 tahun dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Kamarulzaman memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal daripada Universiti Texas di Austin, Amerika Syarikat dan seterusnya ditauliahkan sebagai jurutera TUDM pada 1985.

Menurut kenyataan itu, beliau pernah terlibat dalam program pertukaran pegawai dengan Tentera Udara Diraja Australia.

Selepas menamatkan perkhidmatan ketenteraan, Kamarulzaman menyertai Malaysian-Industry Government Group for High-Technology (MIGHT) selama 13 tahun dengan jawatan terakhir sebagai naib presiden kanan.

“Berbekalkan pengalaman dan kepakaran dalam bidang pengurusan aset strategik kerajaan, KTMB yakin Kamarulzaman mampu menggalas tanggungjawab sebagai peneraju utama syarikat itu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.