Erdogan larang pengeluaran e-rokok di Turki

Erdogan larang pengeluaran e-rokok di Turki

Presiden Turki itu berkata, syarikat tembakau 'menjadi kaya dengan meracuni' orang ramai.

Recep Tayyip Erdogan sering menasihatkan rakyatnya berhenti merokok dan minum arak. (Gambar AFP)
ANKARA:
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan yang sering menasihatkan rakyatnya membuang tabiat merokok dan minum arak, berkata syarikat rokok elektronik tidak akan dibenar mengeluarkan produk mereka di negara itu.

Beliau sebaliknya menggesa rakyatnya minum teh dan mengarahkan menteri perdagangannya “tidak” membenarkan penghasilan e-rokok di Turki.

Katanya, syarikat tembakau “menjadi kaya dengan meracuni” orang ramai.

“Mereka minta kami beri kebenaran untuk menghasilkannya (e-rokok). Kami tidak benarkan dan tidak akan membenarkan,” katanya tanpa menyatakan nama syarikat itu.

“Mereka mahu melabur di Turki…pergi dan buat pelaburan di tempat lain.”

Menurut statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia, kira-kira 27 peratus daripada keseluruhan populasi Turki yang berusia lebih 15 tahun merokok pada 2016 berbanding sekitar 31 peratus pada 2010, dengan majoriti perokok terdiri daripada lelaki.

Walaupun menghisap vape tidak haram di Turki, tetapi membeli atau mengedarkan e-rokok adalah haram di negara itu.

Bagaimanapun, ramai yang membeli e-rokok melalui pengedar atas talian yang turut menyediakan cecairnya.

Erdogan sering menasihatkan rakyatnya berhenti merokok dan minum arak. Pada 2013, kerajaannya mengharamkan semua pengiklanan, promosi dan tajaan produk alkohol serta tembakau di Turki, manakala produk itu juga sering ditapis di televisyen.

“Mari berhenti merokok dan minum teh Rize kita,” kata Erdogan semalam merujuk teh yang dihasilkan di kampung halamannya di wilayah Laut Hitam.

“Saya tidak beri banyak cadangan, tetapi sebagai presiden, saya beritahu orang yang saya sayang, ini adalah haram (dalam Islam).”

Menghisap vape yang dianggap pilihan lebih selamat berbanding menghisap tembakau, tidak dikawal di kebanyakan negara.

Bagaimanapun, Australia, Brazil, India dan Jepun baru-baru ini melarang atau mengehadkan pemasaran e-rokok, manakala Amerika Syarikat pula mengumumkan rancangan untuk mengharamkan penjualan e-rokok berperisa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.