
Habeas corpus ialah perintah untuk membawa seorang tahanan di depan hakim atau mahkamah untuk menentukan jika individu itu patut dipenjarakan.
Pemohon itu adalah Adun Seremban Jaya, P Gunasekaran, Adun Gadek, G Saminathan serta tiga yang lain, S Chandru, V Suresh Kumar dan S Arivainthan yang ditahan antara 10 hingga 12 Okt lalu.
Suresh Kumar ialah ahli Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, manakala Chandru ialah ahli perniagaan. Mereka berdua ialah ahli DAP.
Arivainthan pula ialah juruteknik di sebuah kilang di Kulim, Kedah.
Seramai 12 individu ditahan baru-baru ini, susulan operasi ke atas penyokong LTTE yang didakwa cuba menghidupkan semula kumpulan pengganas itu.
Dalam permohonan secara berasingan itu, lima lelaki itu menamakan pegawai penyiasat masing-masing, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay, ketua polis negara, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden.
Peguam, Ramkarpal Singh yang mengetuai pasukan undang-undang, berkata permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi di sini, petang ini.
“Pemohon menyatakan penahanan mereka menyalahi undang-undang kerana tiada pematuhan ketat ke atas Sosma dan bertentangan kebebasan asasi seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada wartawan.
Ramkarpal yang juga pengerusi Biro Undang-undang DAP, berkata Sijil Perakuan Segera akan difailkan untuk mempercepatkan perbicaraan itu.
Katanya, lima lelaki itu ditahan di bawah Seksyen 4(5) Sosma yang membenarkan penahanan selama 28 hari tanpa perbicaraan.
Ramkarpal yang juga ahli Parlimen Bukit Gelugor, menjangkakan perbicaraan diadakan sebelum tempoh 28 hari itu berakhir.
“Polis perlu membuktikan penahanan mereka adalah sah,” katanya sambil menambah lima lelaki itu menafikan sebarang pembabitan dalam aktiviti berkaitan keganasan.
Beliau berkata, permohonan itu difailkan kerana tiada petunjuk kelima-limanya akan dibebaskan dalam masa terdekat.
“Kami juga sedar permohonan itu boleh menjadi akademik jika polis membebaskan mereka sebelum tempoh 28 hari.”