Penganalisis: Jika DAP ambil sikap seperti Hew, komik akan pecahkan PH

Penganalisis: Jika DAP ambil sikap seperti Hew, komik akan pecahkan PH

Penganalisis berkata senario sekarang hanya akan beri gambaran PH sudah mula gunakan sekolah dalam hal parti politik.

Kamarul Zaman Yusof percaya pertikaian pasti berlaku antara DAP dan PPBM, terutama selepas Hew dilapor menyerang Menteri Pendidikan Maszlee Malik.
PETALING JAYA:
Komik Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama berpotensi memecahbelahkan Pakatan Harapan (PH) jika DAP mengambil sikap sama seperti Hew Kuan Yew, bekas ahli parti itu, yang mengaku bertanggungjawab ke atas penerbitannya, kata penganalisis.

Kamarul Zaman Yusof dari Universiti Utara Malaysia berkata pertikaian pasti berlaku antara DAP dan PPBM, terutama selepas Hew dilapor menyerang Menteri Pendidikan Maszlee Malik kerana menahan pengedaran komik kontroversi ke sekolah.

“Pemimpin PPBM pasti akan mempertahankan menteri mereka,” katanya kepada FMT.

PH dianggotai DAP, PKR, Amanah dan PPBM. Difahamkan isu terbaru ini merumitkan hubungan DAP dan PPBM.

Sebaliknya, jika Hew dibiarkan berdepan kemelut itu sendirian, ia tidak akan membawa masalah besar kepada PH, tambahnya.

Semalam, media melaporkan 43 pemimpin akar umbi DAP dan lima wakil rakyatnya membantah larangan pengedaran komik itu ke sekolah.

Pemuda PPBM mendesak pemimpin akar umbi DAP menghentikan provokasi, mengatakan komik tersebut berbaur propaganda dari China dan isi kandungannya tidak sesuai disebarkan kepada sekolah.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga ketua Armada PPBM membidas Hew sebagai “superman bodoh” selepas mendapati komik kontroversi itu mengaitkan sokongan pemuda Melayu kepada komuniti Uighur di China dengan radikalisme.

“Saya ulang pendirian saya pada 2016. Dia memang ‘Super Stupid Superman’,” katanya di Facebook hari ini, serta memuat naik gambar halaman komik itu.

Mengulas lanjut, Kamarul memberitahu FMT, isu komik itu perlu ditangani dari peringkat awal dengan PH harus segera memohon maaf dan memberi jaminan bahawa sekolah akan bebas daripada unsur-unsur politik kepartian.

Seorang lagi penganalisis, Azmi Hasan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata komik itu tidak akan menjadi isu besar jika ia menggunakan Inisiatif Jalur dan Jalan bagi mendidik kanak-kanak mengenai bahaya rasuah.

“Tetapi nyata hasrat tersurat penerbit komik ialah untuk memanjangkan propaganda politik kepartian kepada budak-budak sekolah,” kata pakar geostrategi itu kepada FMT.

Azmi berkata senario sekarang hanya akan memberi gambaran PH sudah mula menggerakkan penggunaan aset-aset kerajaan seperti sekolah dalam hal melibatkan parti politik.

Isu ini dan beberapa konflik dalam PH kebelakangan ini dilihat akan membawa kesan buruk kepada pakatan itu yang mengambil alih kerajaan pusat Mei 2018.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.