
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata, memberikan bantuan guaman tidak bermakna MIC menyokong kumpulan pengganas yang dipercayai telah berkubur itu.
“PAS berpandangan langkah MIC memberi khidmat peguam kepada suspek yang ditahan kerana disyaki terlibat dengan LTTE bukanlah bermakna MIC menyokong keganasan, apatah lagi sehingga kini tiada bukti seorang pun ahli MIC yang ditahan.
“Bagi PAS memberi khidmat peguam adalah bagi memastikan seseorang yang ditahan mendapat haknya sebagaimana dijamin di sisi undang-undang, selaras dengan prinsip ‘seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah’.
“Sekiranya mereka dibuktikan bersalah, maka semua pihak perlu akur dan menyerahkannya kepada proses undang-undang untuk dilaksanakan,” katanya.
Takiyuddin juga menggesa kerajaan membentangkan satu kertas putih keselamatan secepat mungkin berhubung isu tersebut.
“PAS atas dasar kepentingan awam dan keselamatan negara terus mendesak kerajaan mengemukakan kertas putih di Parlimen mengenai kegiatan berbentuk sokongan kepada aktiviti keganasan di negara ini supaya mana-mana pihak, terutamanya pimpinan politik yang memesongkan pemikiran rakyat diambil tindakan undang-undang sewajarnya,” kata beliau.
Dilaporkan MIC akan menyediakan khidmat guaman percuma kepada lima suspek yang ditahan baru-baru ini kerana disyaki terbabit menyokong LTTE.
Ketua biro bantuan guaman MIC T Rajasekaran berkata, parti itu menawarkan khidmat guaman percuma kerana suspek tidak berkemampuan mendapatkan khidmat peguam sendiri.
Sebelum ini 12 individu termasuk dua ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP ditahan oleh polis Bukit Aman kerana didakwa terpalit dengan kumpulan pemisah di Sri Lanka itu.