Isu Jabatan Air Sabah jejas kredibiliti kerajaan negeri, kata PKR

Isu Jabatan Air Sabah jejas kredibiliti kerajaan negeri, kata PKR

Rahimah Majid berkata keingkaran terhadap undang-undang akan memberi mesej kepada pelabur bahawa kerajaan negeri tidak menghormati keputusan mahkamah.

KOTA KINABALU: Pelantikan seorang ahli Warisan untuk mengetuai jabatan air negeri dan keingkaran berikutnya terhadap keputusan mahkamah sudah menjejaskan kredibiliti dan integriti kerajaan negeri, kata Ketua Wanita PKR Sabah Rahimah Majid.

“Maklum balas yang diterima dari lapangan menunjukkan episod ini telah merosakkan reputasi dan imej kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata ketua menteri dan kerajaan negeri menghantar isyarat yang salah kepada dunia dan pelabur berpotenasi bahawa ia tidak akan menghormati undang-undang dan keputusan mahkamah.

“Mereka sudah menetapkan duluan yang tidak baik dan jika pelabur asing menjauhi Sabah, ketua menteri dan kabinetnya harus tanggung tanggungjawab itu,” katanya menjawab kenyataan Ketua Menteri Shafie Apdal semalam.

Shafie berkata kerajaan negeri akan membetulkan proses yang salah yang membawa kepada pelantikan Amarjit Singh sebagai pengarah Jabatan Air Sabah pada Ogos.

Beliau berkata walaupun Mahkamah Tinggi sudah membuat keputusan mengenai pelantikan Amarjit, ia tidak menyatakan pelantikan itu menyalahi undang-undang.

Rahimah juga mempersoalkan kesahan kenyatan Menteri Undang-undang VK Liew bahawa Seksyen 3(2) Enakmen Bekalan Air Sabah 2003 tidak terpakai pada pengarah itu.

Beliau berkata kenyataan Shafie dan Liew bertentangan dengan prinsip pemisahan kuasa badan legislatif, eksekutif dan kehakiman di Malaysia, yang perlu supaya ada semak dan imbang.

“Mereka gagal menghormati undang-undang dan menetapkan contoh yang tidak baik. Mahkamah Tinggi sudah membuat keputusan dan ia harus dikuti walaupun kamu tidak setuju. Bukan sahaja setiap perkataan undang-undang itu mesti dihormati tetapi juga semangatnya.”

Rahimah, yang juga seorang peguam berkata, Shafie dan Liew harus menghormati keputusan mahkamah dan membenarkan peguam kerajaan negeri melakukan tugas dengan sewajarnya.

“Ternyata, tidak bijak ketua menteri meminta Amarjit meneruskannya dan bukan meminta dia bercuti sementara menunggu rayuan.

“Pengarah tidak patut diarah untuk meneruskannya. Dia hanya patut teruskan selepas undang-undang dipatuhi, dan selepas apa saja pembetulan dibuat, seperti yang disebut oleh ketua menteri, itu pun jika boleh dibetulkan.

“Sekalipun jika ketua menteri beri arahan yang salah, Amarjit seharusnya menghormati keputusan mahkamah dan berundur,” katanya,

Rahimah berkata dengan melantik Amarjit, seorang bukan kakitangan awam, kerajaan negeri juga merendahkan pegawai paling kanan, berkelayakan dan berpengalaman, yang sepatutnya mengisi kekosongan itu, dan telah melemahkan semangat perkhidmatan awam, yang menjadi tulang belakang kerajaan negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.