Hoki SOJC: Britain juara, Malaysia tempat ke-3

Hoki SOJC: Britain juara, Malaysia tempat ke-3

Kemenangan Malaysia memperbaiki rekod skuad hoki remaja kendalian Nur Saiful Zaini Nasiruddin pada tahun lepas yang hanya sekadar menamatkan cabaran di kedudukan kelima.

Pasukan Great Britain menjadi tiga kali juara dengan mencatat kemenangan 2-1 ke atas India semalam. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Stuart Rushmere muncul wira Great Britain apabila meledak gawang India 2-1, sekali gus menjadikan pasukan itu sebagai pasukan pertama muncul juara tiga kali Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor (SOJC) 2019, di Stadium Hoki Taman Daya malam tadi.

Babak pertama perlawanan, bagaimanapun, menyaksikan kedua-dua pasukan gagal memanfaatkan peluang-peluang yang terhidang menerusi pukulan sudut penalti selain cubaan gol padang yang tersasar dari gawang.

Gol pertama India muncul pada minit ke-49 hasil pukulan sudut penalti Gursahibjit Singh, namun, kegembiraan skuad kendalian B J Kariappa itu tidak bertahan lama apabila anak buah Jon Bleby menyamai kedudukan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Rushmere seminit kemudian.

Menambah debaran buat penonton, berbaki satu minit sebelum tamat perlawanan, Rushmere sekali lagi meledak gawang India hasil jaringan padang.

Great Britain muncul juara SOJC pada edisi 2015 dan 2018 manakala India pula pada 2013 dan 2014.

Malaysia tempat ketiga

Terdahulu, Malaysia meraih tempat ketiga selepas menewaskan Jepun 3-2 dan menerima gol sulung seawal minit ke-14 hasil jaringan padang Mohamad Akhimullah Anuar Esook.

Adam Aiman Mamat menjaringkan gol kedua juga menerusi gol padang empat minit kemudian, namun Jepun bangkit meledak gol pada minit ke-23 hasil pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Riku Tamura.

Malaysia sekali lagi membuat kejutan apabila menerjah kubu lawan sekali gus memperoleh gol ketiga pada minit ke-37 menerusi jaringan padang Muhammad Syafiq Hassan.

Berbaki tiga minit sebelum tamat perlawanan, anak buah Kyoichi Nagaya melakukan serangan dan memecah kubu tuan rumah sekali lagi pada minit ke-57 hasil pukulan sudut penalti Keigo Tamura.

Kemenangan Malaysia itu sekali gus memperbaiki rekod skuad hoki remaja kendalian Nur Saiful Zaini Nasiruddin pada tahun lepas yang hanya sekadar menamatkan cabaran di kedudukan kelima.

Sementara itu, Nur Saiful Zaini berkata secara keseluruhannya, beliau berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan pemain dalam aksi penentuan hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata anak buahnya masih perlu diberi banyak pendedahan dalam kejohanan antarabangsa untuk mencari rentak permainan bersama pasukan luar.

“Saya gembira dengan persembahan mereka hari ini, tapi ada dua perkara yang kita perlu perbaiki iaitu pertama kita persiakan banyak peluang yang kita dapat, kerana kita perlu buat jaringan. Kita juga kena tahu posisi pemain lawan untuk kejar dan bayanginya, tetapi kita tidak laju untuk tutup posisi mereka,” katanya.

Kali terakhir Malaysia memenangi kejohanan itu adalah pada tahun 2011.

Australia menamatkan saingan di tempat kelima selepas menewaskan New Zealand 4-2 dalam aksi penentuan tempat kelima dan keenam.

Edisi kali ini, Anugerah Pemain Terbaik diungguli pemain Jepun, Kosei Kawabe manakala Anugerah Penjaring Terbanyak disampaikan kepada pemain India, Shilanand Lakra.

Penjaga Gol Terbaik pula dimenangi Oliver Payne juga dari Great Britain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.