DAP: Isi komik bukan pendirian parti, perspektif peribadi pengarang

DAP: Isi komik bukan pendirian parti, perspektif peribadi pengarang

DAP menjunjung kebebasan bersuara yang tidak melanggar undang-undang ataupun memudaratkan.

PETALING JAYA: DAP dan sayap pemudanya menegaskan ia tidak sama sekali ada kaitan dengan penerbitan buku komik kontroversi “Inisiatif Jalur dan Jalan – Meraih Manfaat Bersama”, yang mencetuskan perbalahan antara beberapa pemimpin akar umbi dan wakil rakyatnya dengan parti komponen Pakatan Harapan lain.

Ketua Pemuda DAP Howard Lee Chuan How juga berkata isu kandungan komik tersebut tidak mencerminkan pendirian partinya.

“Kandungan komik tersebut adalah perspektif peribadi pengarang hasil inisiatif Asia Comic Culture Museum. Sama ada perspektif tersebut adalah benar atau tidak benar adalah bergantung kepada tafsiran pembaca,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Di samping itu, Lee berkata DAP menjunjung kebebasan bersuara “yang tidak melanggar undang-undang ataupun memudaratkan hak dan kebajikan pihak lain”.

Pertikaian tercetus selepas Kementerian Pendidikan mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah memastikan semua sekolah tidak menerima dan membuat edaran buku komik itu selepas menerima laporan berkaitan edarannya ke sekolah di seluruh Malaysia.

Menteri Pendidikan Maszlee Malik dikritik oleh Hew Kuan Yew, bekas ahli DAP, yang mengaku bertanggungjawab ke atas penerbitannya. Semalam, 43 pemimpin akar umbi DAP dan lima wakil rakyatnya membantah larangan pengedaran komik itu ke sekolah.

Pemuda PPBM tampil mendesak pemimpin akar umbi DAP menghentikan provokasi, mengatakan komik tersebut berbaur propaganda dari China dan isi kandungannya tidak sesuai disebarkan kepada sekolah.

Penganalisis politik Kamarul Zaman Yusof dari Universiti Utara Malaysia pula menyarankan PH segera memberi jaminan bahawa sekolah akan bebas daripada unsur-unsur politik kepartian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.