Agong ucap tahniah pada saintis Malaysia Dr Serena

Agong ucap tahniah pada saintis Malaysia Dr Serena

Dr Serena menjadi sumber inspirasi kepada rakyat, kata Sultan Abdullah.

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengucapkan tahniah kepada saintis Malaysia yang berpangkalan di United Kingdom, Dr Serena Nik Zainal atas pencapaian meraih anugerah Hadiah Penyelidikan Kanser Dr Josef Steiner 2019.

Sultan Abdullah berbangga rakyat Malaysia memenangi anugerah berprestij itu dan menyifatkan Serena sebagai contoh berikutan sumbangannya dalam bidang penyelidikan kanser.

“Kerja keras, bakat dan penyelidikan bersejarah Dr Serena menjadi sumber inspirasi kepada rakyat semua. Berbekalkan kecekalan dan etika kerja yang cemerlang, kita semua dapat mencapai kejayaan sebagaimana yang jelas ditunjukkan Serena.

“Saya ucapkan selamat maju jaya buat beliau, semoga kejayaan cemerlang berterusan dalam merintis penyelidikan kanser yang akhirnya akan dapat membantu pesakit kanser,” menurut kenyataan Istana Negara hari ini.

Media melaporkan Serena memenangi anugerah tersebut di University of Bern di Switzerland pada Jumaat, atas kejayaan menjalankan kajian untuk mempercepat penafsiran holistik genom kanser.

Serena merupakan siswazah perubatan di Unit Penyelidikan Kanser, University of Cambridge di bawah tajaan Petronas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.