
Meskipun jarak usianya dengan jiran yang sudah dianggap seperti keluarga itu agak jauh, namun ia sedikit pun tidak menimbulkan rasa kekok buat dirinya untuk bersahabat baik dengan dua jiran wanita warga emas, Lee Nyek Ying, 80, dan N Puspam berusia 63 tahun.
Berkongsi kenikmatan hidup berjiran dengan pelbagai bangsa itu, Izzati berkata bukan sahaja anak-anaknya dapat melihat sambutan perayaan Tahun Baru Cina dan Deepavali bahkan dirinya sendiri berpeluang mempelajari amalan berpantang mengikut tradisi kaum masing-masing.
“Saya walaupun jauh lebih muda dari mereka, tetapi kami memang amat prihatin antara satu sama lain apatah lagi apabila kedua-dua jiran saya ini merupakan orang tua, itu yang saya kata keprihatinan itu seperti keluarga, macam ibu dengan anak.
“Macam sekarang ini saya sedang berpantang anak ketiga secara sendiri, disebabkan Lee yang saya selalu panggilnya sebagai Ah Po tahu saya sedang berpantang, dia lebih kerap datang ke rumah setiap pagi dan petang untuk pastikan saya dan anak dalam keadaan baik, dia sangat risau bila tahu saya berpantang sendiri.
“Pengalaman berpantang inilah yang beri saya peluang untuk pelajari macam mana orang Cina berpantang dan macam mana orang India mempraktikkan amalan berpantang mereka, ada antara amalan mereka yang kita boleh ikut juga,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.
Bersarapan bersama
Menurut Izzati yang telah menetap di Taman Semarak di sini sejak tiga tahun lalu, kebiasaannya Lee akan datang ke rumahnya setiap pagi untuk bersarapan bersama sambil berbual dan sebagainya.
“Saya rasa bagus juga bila Lee sering datang ke rumah supaya saya pun tahu keadaan dia sebab dia sudah agak berusia, bimbang juga kalau apa-apa berlaku padanya.
“Macam saya pula, Lee pantang betul kalau dengar saya masuk hospital, dialah orang yang akan risau dan tidak henti tanya khabar saya kepada suami,” katanya.
Sementara itu, Lee berkata cucunya ketika ini kerap menunjuk ajar anak sulung Izzati iaitu Nur Izzah Zinnarah Mohamad Izzudin, 5, yang kini bersekolah di sekolah aliran Cina.
“Jika ada apa-apa yang tidak faham, biasanya Nur Izzah akan datang ke rumah saya untuk bertanya dan cucu saya yang akan tunjuk ajar mana-mana yang mereka tahu.
“Cucu saya dan anak-anak Izzati memang baik, mereka juga sering bermain bersama-sama,” katanya yang telah menetap di kawasan itu sejak 27 tahun yang lalu.
Tambahnya, Izzati sering memasak dan memberikan makanan kepadanya dan bukan itu sahaja, malah apabila Izzati dan keluarganya bercuti, mereka sering membawa balik buah tangan untuknya.
“Anak-anak saya juga yang selalu pergi bercuti ke Taiwan dan sebagainya, mereka juga akan pastikan ada buah tangan dibawa balik untuk keluarga Izzati,” katanya.
Tersimbah air panas
Sementara itu, Puspam berkata, perkara yang tidak dapat dilupakannya apabila di saat cucunya tersimbah air panas, jiranlah orang pertama yang datang selamatkan cucunya itu tanpa mengira perbezaan kaum.
“Waktu itu saya memang cemas dan hanya mampu menjerit meminta tolong apabila saya tengok cucu saya sudah terbaring di dapur dan tersimbah air panas, mungkin jeritan saya itu didengari Izzati, dia terus datang ke rumah dukung cucu saya dan bawanya ke hospital.
“Saya tidak tahu apa akan jadi kalau tiada yang bantu saya ketika itu,” katanya.
Beliau berkata kejiranan di sini memang agak rapat kerana mereka saling mengambil berat antara satu sama lain, tidak pernah berbalah atau timbul sebarang konflik antara mereka.