Tidak salah guna bahasa lain juga, kata aktivis Sarawak

Tidak salah guna bahasa lain juga, kata aktivis Sarawak

Pada Isnin, Anwar menggesa pemimpin dan anggota badan rasmi kerajaan supaya menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa perantaraan.

Pemimpin Movement for Change, Sarawak, Francis Paul Siah berkata, lebih penting ialah mesej pengucap difahami khalayaknya.
KUCHING:
Seorang aktivis hak Sarawak membidas Presiden PKR Anwar Ibrahim kerana berkata semua acara dan sidang media kerajaan hendaklah menggunakan Bahasa Malaysia.

Pemimpin Movement for Change Sarawak, Francis Paul Siah berkata, tidak ada salahnya bercakap dalam bahasa Malaysia dan Inggeris atau mana-mana bahasa lain kepada khalayak yang pelbagai dalam acara rasmi.

“Arahan Anwar tidak selari dengan galakan kerajaan supaya rakyat Malaysia berusaha menguasai bahasa yang berlainan,” katanya.

Pada Isnin, Anwar menggesa pemimpin dan anggota badan rasmi kerajaan supaya menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa perantaraan sebagai satu langkah bagi mengangkatnya sebagai “bahasa ilmu”.

Beliau berkata, terdapat sidang media pihak kerajaan yang mengunakan campuran bahasa Malaysia dan Inggeris “yang gagal mencerminkan pendirian kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mendaulatkan bahasa Melayu”.

“Saya menggesa semua pihak yang mahu mengadakan sidang media supaya melakukannya dalam bahasa Melayu, dan jika ada keperluan untuk menjawab soalan dalam bahasa Inggeris, atau sekiranya ia merupakan sidang antarabangsa, maka anda boleh menggunakan bahasa Inggeris,” katanya.

Francis berkata, pemimpin tidak perlu mengarah atau mendesak supaya bahasa tertentu digunakan selagi mesej pengucap boleh difahami khalayaknya.

“Sebagai bakal perdana menteri, Anwar perlu faham perkara ini,” katanya.

Dalam pada itu, menteri pelancongan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, bercakap dalam bahasa Inggeris tidak menjadikan seseorang kurang patriotik.

“Kenapakah kita perlu paranoid sehingga mengetepikan bahasa Inggeris hanya kerana bahasa rasmi kita bahasa Malaysia?

“Lebih penting ialah mesej yang ingin disampaikan kepada khalayak,” katanya.

Karim berkata, bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris adalah bahasa rasmi negeri itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.