‘Reunion’ unik bukan sahaja bekas pelajar, guru pun ada

‘Reunion’ unik bukan sahaja bekas pelajar, guru pun ada

Dapat berkumpul dan berjumpa semula selepas berpuluh tahun pasti menjadi satu memori indah terutama sekali jika ia diantara bekas pelajar dan bekas guru.

180 bekas pelajar dan guru Temenggong Ibrahim Girls School sejak dari era 50an hingga 90an berkumpul.

Seringkali kita mendengar majlis perjumpaan semula atau “reunion” dilakukan tidak kiralah selepas 10 atau 15 tahun malah ada yang lebih.

Tidak dinafikan untuk mengadakan ia setiap tahun adalah sesuatu yang mustahil kerana keupayaan untuk mengumpul semua selain sibuk dengan kehidupan seharian menjadi antara faktor penghalang.

Namun sesiapa sahaja yang menganjurkannya pasti sedaya upaya akan cuba untuk mengumpul sebanyak yang mungkin bagi memeriahkan majlis selain dapat berjumpa semula dan mengeratkan silaraturahim.

Bagi majlis “reunion” Bekas Pelajar Temenggong Ibrahim Girls School (TIGS) Batu Pahat dianggap unik, ini kerana ia bukan sahaja mengumpul bekas pelajar malah bekas guru dan guru besar juga turut hadir iaitu dari era 50an, 60an, 70an, 80an dan 90an!

Bekas artis BMG Sony Music, Elia Liza Jahya, yang juga bekas pelajar TIGS mendendangkan lagunya sambil mengimbau kenangan lalu.

Sudah tentu perjumpaan itu dipenuhi dengan hilai tawa dan tangisan kegembiraan selepas sekian lama terpisah akhirnya dapat bersua kembali sekaligus mengimbau kenangan sewaktu belajar bersama dengan guru masing-masing.

Walaupun ada yang sudah bercucu dan cicit tetapi semua tetap kelihatan masih sihat dan aktif.

Pada majlis berkenaan, bekas-bekas pelajar turut mengasah bakat yang sekian lama terpendam dengan menyanyi, menari dan memperagakan pakaian.

Turut menyerikan majlis ialah bekas artis BMG Sony Music, Elia Liza Jahya, yang juga bekas pelajar sekolah itu.

Tarian joget lambak, zapin dan poco poco menarik semua yang hadir untuk turut sama menari.

Jika sudah berkumpul tak sah jika tiada tarian tradisi masyarakat Johor iaitu joget lambak malah tarian zapin, joget dan poco poco juga memenuhi setiap ruang di majlis itu.

Menurut Pengerusi AJK Penganjur, Alimah Arsat bermula daripada sembang di kedai kopi untuk buat majlis “reunion” akhirnya menjadi realiti disamping sambutan yang sangat menggalakkan.

“Ini pertama kali anjur luar daripada Batu Pahat dan inilah kali pertama kita dapat kumpul semua bermula dari era 50an hinggalah 90an. Ada yang umur sudah lebih 80 sudah bercucu cicit pun,” katanya sambil tertawa.

Pengerusi AJK Penganjur, Alimah Arsat tidak sangka ‘reunion’ ini berjaya apabila sasar hanya mampu tarik 60 orang namun ia meningkat 3 kali ganda.

Majlis perjumpaan bekas pelajar TIGS ini hasil usaha Alimah Arsat yang turut dibantu ahli jawatankuasa penganjur Asmah Kalam, Faridah Hitam, Maznah Haron, Zaidah Haron, Noraini Aris, Sapiah Mohamed, Siti Arfa, Siti Hendon, Noor Hasilah Ismail dan Daeng Sarah Suleiman.

“Apabila mendapat undangan menyertai majlis ini, saya sangat teruja dan sanggup menaiki bas dari Batu Pahat. Saya sangat terharu kerana bekas-bekas pelajar masing mengingati dan menghargai saya,” kata P Indran yang kini sudah berusia 82 tahun dan mengajar di TIGS selama 35 tahun.

P Indran, 82 tahun dan mengajar di TIGS selama 35 tahun antara bekas guru bahasa Inggeris dan jurulatih hoki suatu ketika dulu.

“Saya sangat gembira berada di sini. Saya juga bangga melihat ramai bekas-bekas murid berjaya dalam pelajaran dan pekerjaan. Ada yang dulu pernah kena rotan dengan saya tapi kini memegang jawatan penting dalam organisasi besar,” kata bekas pengetua, Hamidah Baba.

Bekas-bekas guru lain yang turut hadir pada majlis itu ialah S. Singham, Amnah Badul, Normah Razak, Azizah Mohd Salleh, Rokiah Abdul Rahman, Kamariah Sulaiman dan Aishah Ariffin.

Sudah pasti majlis seumpama ini akan menjadi satu memori indah bagi 180 orang bekas pelajar dan guru serta guru besar yang hadir.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.