Polis sah ambil keterangan pelukis komik ‘propaganda’

Polis sah ambil keterangan pelukis komik ‘propaganda’

Media melaporkan komik itu dipercayai diedarkan ke sekolah menengah seluruh negara.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, polis akan mengambil keterangan satu atau dua orang lain bagi menentukan kesalahan yang dilakukan berikutan penerbitan komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan – Meraih Manfaat Bersama’.
KUALA SELANGOR:
Polis mengambil keterangan pelukis komik bertajuk “Inisiatif Jalur Dan Jalan – Meraih Manfaat Bersama” petang semalam di Bukit Aman manakala satu atau dua lagi individu berkaitan penerbitannya juga akan dipanggil dalam masa terdekat.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, keterangan satu atau dua lagi individu tersebut perlu untuk pihaknya menentukan bentuk kesalahan yang disebarkan melalui penerbitan komik berkenaan yang didakwa berunsur propaganda.

“Buat masa ini, kita belum dapat tentukan bentuk kesalahan (disebar oleh komik itu). Selepas satu atau dua individu ini memberi keterangan, kita akan bawa kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan upacara pelepasan Konvoi Ride Bersekutu Vol 4 2019 (RBV#4) di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata, laporan awal Bahagian Keselamatan kementerian itu mendapati terdapat perkara yang tidak betul dalam komik berkenaan, sekali gus wajar tindakan tegas dikenakan terhadap mereka yang menerbit dan mengedarkan komik tersebut.

Baru-baru ini, media melaporkan komik itu dipercayai diedarkan ke Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) di negara ini.

Mengulas mengenai penahanan 12 individu berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) pula, Abdul Hamid menegaskan bahawa ia dibuat bukan atas tekanan politik mana-mana pihak atau berkaitan isu kaum serta agama, sebaliknya berdasarkan kepada bukti pembabitan yang kukuh.

“Penyiasatan isu ini telah lama dilakukan, sejak November tahun lepas lagi. Akhirnya Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman mempunyai cukup bukti untuk ambil tindakan.

“Saya beri jaminan yang kita tidak tangkap (mana-mana individu) secara semberono. Cukup ‘masak’ siasatan dan bukti kita, kita minta pandangan Jabatan Peguam Negara sebelum ambil tindakan. Tangkapan pula dibuat atas keputusan saya sendiri selepas berbincang dengan pegawai-pegawai saya,” katanya.

Walaupun tangkapan tersebut dilakukan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), beliau memberi jaminan bahawa hak individu itu tetap dipelihara dan mereka ditempatkan di dalam bilik tahanan di kawasan yang mempunyai pengawasan kamera litar tertutup.

LTTE disenarai sebagai kumpulan pengganas di Malaysia sejak 2014 dan sehingga kini 12 individu, termasuk dua ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada DAP ditahan kerana disyaki terbabit menyokong dan menyalurkan dana untuk kumpulan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.