Pindaan anda tiada sokongan majikan dan pekerja, MEF ingatkan kementerian

Pindaan anda tiada sokongan majikan dan pekerja, MEF ingatkan kementerian

Pengarah Eksekutif Shamsuddin Bardan berkata amat malang apabila pihak kementerian membuat pindaan tanpa persetujuan akhir Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan MEF.

Pengarah Eksekutif Shamsuddin Bardan berkata, amat malang apabila kementerian membuat pindaan tetapi ia tidak disokong MEF dan MTUC. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) sekali lagi membidas Kementerian Sumber Manusia dengan mengingatkan bahawa proses meminda Akta Perhubungan Perusahaan (Pindaan) 2019 tidak mendapat sokongan padu pihak majikan dan pekerja.

Pengarah Eksekutif Shamsuddin Bardan berkata amat malang apabila pihak kementerian membuat pindaan tanpa persetujuan akhir Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan MEF.

“Adalah amat malang bila kementerian membuat pindaan tetapi ia tidak disokong MEF dan MTUC,” kata beliau kepada FMT mengulas kenyataan terbaru kementerian berhubung pindaan akta itu, yang dikeluarkan hari ini.

Beliau turut mendakwa kementerian juga gagal mematuhi tatacara perbincangan dan perundangan dalam melaksanaan pindaan ke atas akta itu.

“Tatacara untuk perbincangan dan perundingan mengenai pemindaan undang-undang tidak dihormati dan tidak diikuti.

“Semasa mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) telah dipersetujui bahawa hasil perbincangan di jawatankuasa teknikal hendaklah dibentangkan dalam NLAC dan dinyatakan perkara-perkara yang dipersetujui dan tidak dipersetujui oleh MEF dan MTUC.

“… hendaklah dinyatakan alasan-alasan yang diberi MEF dan MTUC, apa yang dibentangkan ke NLAC selepas dibincangkan hendaklah dibentangkan ke Kabinet dan dihantar ke Jabatan Peguam Negara.

“Proses ini tidak pernah dilakukan dan kementerian terus membentangkan pindaan ke Kabinet dan peguam negara,” kata beliau.

Oleh itu kata beliau, MEF juga tidak mengetahui intipati pindaan dibentangkan kementerian kepada Kabinet dan Jabatan Peguam Negara.

“Tripartism sebagai mana dalam No. 144 (dalam Konvensyen ILO) memerlukan kepercayaan dan menghormati pandangan pihak MTUC dan MEF.

“Pindaan undang-undang dibuat tanpa sokongan MTUC dan MEF tidak akan mencapai hasrat membuat pindaan berkenaan,” katanya.

Dalam kenyataan dikeluarkan pagi tadi, Kementerian Sumber Manusia menyangkal dakwaan MTUC dan MEF yang menggesa Dewan Negara menolak Rang Undang-Undang Perhubungan Perusahaan (Pindaan) 2019 atas alasan tidak ada perbincangan dengan badan mewakili pekerja dan majikan itu.

Dalam respons kepada kenyataan kedua-dua badan itu, Kementerian Sumber Manusia berkata, dakwaan MTUC dan MEF yang pihaknya tidak mengadakan konsultasi dengan pemegang taruh dan tidak dipersetujui NLAC berhubung cadangan pindaan Akta Perhubungan Perusahaan adalah tidak berasas.

Menurut kementerian, Konvensyen ILO 144 menggariskan keperluan untuk mengadakan konsultasi dengan wakil majikan dan pekerja bagi perkara berkaitan aktiviti-aktiviti ILO.

“Konvensyen ini hanya menekankan keperluan untuk mengadakan konsultasi dan bukannya mendapatkan persetujuan sebagaimana yang didakwa oleh MTUC dan MEF.

“Kementerian telah mengadakan sesi konsultasi bukan sahaja dengan MTUC dan MEF, malah dengan pemegang-pemegang taruh lain termasuk pertubuhan bukan kerajaan berhubung perkara-perkara yang tidak terhad kepada aktiviti-aktiviti ILO sahaja,” kata kementerian.

Dengan mendakwa siri perbincangan dengan MTUC dan MEF telah diadakan sejak tahun lalu, Kementerian Sumber Manusia meminta kedua-dua badan itu memberitahu kepada rakyat Malaysia peruntukan mana dalam Rang Undang-undang Perhubungan Perusahaan yang dipersetujui atau tidak dipersetujui dan juga alasannya.

“Hanya konsultasi sahaja diperlukan sebagaimana yang telah dijelaskan. RUU ini boleh diperoleh di laman web Parlimen dan semua pihak disarankan untuk membaca dan memahami kandungan pindaan tersebut,” kata kementerian.

Kementerian seterusnya berkata, perkara penting adalah konsultasi dan tidak dinyatakan di mana-mana sekalipun bahawa “kita perlu mendapat persetujuan daripada kedua-dua anggota tripartite.”

Pada 9 Okt lalu, Setiausaha Agung MTUC, J Solomon berkata, Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran berbohong mengenai rundingan dengan pihak berkepentingan sebelum membentangkan pindaan ke atas Akta Perhubungan Perusahaan.

Beliau turut mendakwa menteri itu membuat keputusan sendiri untuk menyerahkan cadangan pindaan IRA, Akta Kerja dan Akta Kesatuan Sekerja kepada Jabatan Peguam Negara untuk mendapat kelulusan.

Katanya, semua cadangan yang dihantar kepada Jabatan Peguam Negara itu tidak diluluskan jawatankuasa teknikal atau NLAC.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.