Ombudsman Malaysia ganti BPA dijangka operasi suku pertama 2020

Ombudsman Malaysia ganti BPA dijangka operasi suku pertama 2020

Ketua Pengarah GIACC, Abu Kassim Mohamed yakin Ombudsman Malaysia beroperasi awal tahun 2020 jika Parlimen meluluskan rang undang-undang berkaitan Dis ini.

Ketua Pengarah GIACC, Abu Kassim Mohamed berkata Ombudsman Malaysia akan meningkatkan integriti dan governans urusan penyelesaian aduan dalam perkhidmatan awam.
PETALING JAYA:
Ombudsman Malaysia, yang akan menggantikan Biro Pengaduan Awam (BPA), dijangka beroperasi suku pertama tahun depan sekiranya rang undang-undang berkaitan diluluskan Parlimen Dis ini.

Bercakap kepada FMT, Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Abu Kassim Mohamed berkata badan itu, yang pembentukannya sedang diperhalusi dengan mengambil kira model beberapa negara, bertujuan meningkatkan integriti dan governans urusan penyelesaian aduan dalam perkhidmatan awam.

“Rang undang-undang mengenai pembentukan Ombudsman Malaysia kini di peringkat penelitian Jabatan Peguam Negara, dan akan dibawa kepada Kabinet dalam waktu terdekat untuk kelulusan, sebelum ke Parlimen.

“Saya yakin ia boleh dibawa ke Parlimen pada sesi yang berlangsung sekarang. Jika diluluskan, boleh beroperasi pada suku pertama tahun depan… saya yakin boleh. Ombudsman Malaysia akan menggantikan BPA,” kata beliau.

Ombudsman Malaysia akan berfungsi sebagai penyelesaian aduan tahap kedua. Pada masa sekarang wujud pertindihan dalam aspek penyelesaian di mana satu-satu aduan dikemukakan kepada pelbagai peringkat pada masa yang sama dan ia memakan masa yang lama dan kadangkala menjejaskan integriti dan keberkesanan tindakan penyelesaian.

“Bermakna, apabila Ombudsman Malaysia dibentuk nanti, setiap aduan dan isu perlu dibawa kepada agensi atau kementerian terbabit terlebih dahulu untuk penyelesaian. Ini dipanggil aduan tahap satu.

“Hanya selepas satu masa tertentu, jika tidak ada tindakan, atau pengadu tidak berpuas hati dengan penyelesaian di tahap pertama, aduan terbabit boleh dibawa untuk perhatian ombudsman. Ombudsman hanya akan bertindak sebagai penyelesai aduan di tahap kedua,” kata beliau.

Pada Sept tahun lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan telah memutuskan untuk menukar status BPA menjadi Ombudsman Malaysia bagi memastikan tindakan ke atas pengaduan berkaitan kementerian dan agensi dapat ditangani dengan lebih efektif.

Kata beliau, bagi memastikan penubuhan badan itu dapat dilaksanakan, satu akta dikenali sebagai akta ombudsman akan digubal.

Mengulas lanjut, Abu Kassim berkata badan baru ini, antara inisiatif pembaharuan dibawa oleh GIACC, akan diketuai oleh seorang ketua yang akan dikenali sebagai ombudsman dan akan terdiri daripada beberapa anggota, dipercayai lima atau tujuh orang.

Di Filipina, ombudsman dibantu oleh lima timbalan, mengikut zon negara itu.

Kata Abu Kassim, ombudsman akan mengesyorkan tindakan disiplin kepada ketua-ketua jabatan sekiranya ada pegawai masing-masing yang tidak mengambil tindakan ke atas aduan-aduan dibuat.

“Ombudsman tidak akan mengambil tindakan tatatertib, tetapi kami mengesyorkan agar Ombudsman mencadangkan kepada ketua-ketua jabatan jika wujud elemen ‘malpractice’… cuai dalam menjalankan tugas apabila aduan dibuat,” kata beliau.

Katanya, perdana menteri akan menentukan penyandang jawatan ombudsman.

“Struktur akhir masih belum dimuktamadkan. Kita ada kemukakan cadangan, terserah kepada Kabinet untuk menerima syor dan cadangan,” kata Abu Kassim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.