
Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin menjelaskan terdapat beberapa prosedur lain yang perlu diikuti sebelum keputusan mengenai nasib Yazid dibuat.
“Saya tidak boleh buat keputusan sehingga Lembaga Pencegahan Terorisme mengadakan mesyuarat di mana saranan akan dibuat berdasarkan tingkah laku tahanan dalam penjara,” katanya menurut laporan Malay Mail.
Yazid 55, ahli biokimia yang mendapat latihan di AS, yang disifatkan sebagai “teroris tegar” oleh akhbar tersebut kini ditahan di penjara Simpang Renggam, Johor bawah Pota, yang membenarkan suspek ditahan tanpa dibicarakan selama dua tahun.
Akhbar Singapura, Straits Times memetik Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, keputusan akhir mengenai pembebasan Yazid belum dibuat oleh Lembaga Pencegahan Terorisme, namun tempoh tahanan beliau akan tamat bulan depan.
Kata laporan tersebut, Yazid ditahan tiga kali dalam tempoh 17 tahun lepas kerana kegiatan berkait keganasan.