Laporan: Yazid Sufaat mungkin bebas bulan depan

Laporan: Yazid Sufaat mungkin bebas bulan depan

Kemungkinan pembebasan Yazid menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pegawai antiterorisme di negara ini.

Yazid Sufaat dipenjarakan tiga kali sepanjang 17 tahun lepas kerana kegiatan berkait keganasan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Yazid Sufaat, anggota militan warga Malaysia yang mempunyai kaitan langsung dengan serangan Sept 11 2001 di Amerika Syarikat mungkin dibebaskan daripada tahanan bulan depan, menurut laporan Singapore Straits Times.

Kata laporan itu, kemungkinan pembebasan beliau menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pegawai antiterorisme di negara ini.

Yazid 55, ahli biokimia yang mendapat latihan di AS, yang disifatkan sebagai “teroris tegar” oleh akhbar tersebut kini ditahan di penjara Simpang Renggam, Johor selama dua tahun di bawah Akta Pencegahan Keganasan (Pota).

Akta berkenaan membenarkan suspek ditahan tanpa dibicarakan selama dua tahun.

Dalam laporan hari ini, Straits Times memetik Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, keputusan akhir mengenai pembebasan Yazid belum dibuat oleh Lembaga Pencegahan Terorisme, namun tempoh tahanan beliau akan tamat bulan depan.

“Sama ada tempoh tahanan akan dilanjutkan atau tidak, keputusan mengenainya dijangka akan dibuat sebelum tempoh tahanan beliau tamat,” kata Ayob menurut laporan itu.

Ketika ditanya sama ada penahanan Yazid patut diteruskan, Ayob berkata, “walau apapun keputusannya, kita serahkan kepada Lembaga Pencegahan Terorisme”.

Kata laporan tersebut, Yazid ditahan tiga kali dalam tempoh 17 tahun lepas kerana kegiatan berkait keganasan.

Beliau pernah cuba menghasilkan senjata pemusnah besar-besaran untuk al-Qaeda.

Ia berkata, Yazid memperoleh empat tan ammonium nitrat untuk beberapa serangan bom di Singapura pada 2000 sebelum rancangan rangkaian pengganas Jemaah Islamiah itu digagalkan.

Yazid juga dilaporkan cuba menghasilkan dan memasukkan anthrax ke dalam senjata di Afghanistan pada 1990-an.

Rumah beliau di Kuala Lumpur pernah digunakan oleh anggota kanan al-Qaeda sebagai tempat pertemuan dan dalam satu mesyuarat, rancangan untuk membuat serangan menggunakan kapal terbang di AS pada 11 Sept 2011 turut dibincangkan.

Straits Times menyebut Yazid merupakan satu-satunya rakyat Malaysia yang mempunyai kaitan langsung dengan serangan itu.

Yazid, bekas kapten tentera, pertama kali ditahan pada 2002 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Beliau dibebaskan pada 2008 selepas menjalani proses pemulihan dan menunjukkan tanda “penyesalan” dan “bertaubat”.

Beliau ditahan kali kedua pada 2013 di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma), undang-undang yang menggantikan ISA, kerana merekrut anggota baru untuk IS di Iraq dan Syria.

Berikutan itu beliau ditahan selama empat tahun di penjara Tapah.

Pada Dis 2017, Yazid ditahan semula di bawah Pota selepas pihak berkuasa mendapati beliau merekrut rakan tahanan untuk al-Qaeda ketika di penjara, kata Straits Times.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.