
Ketua pegawai eksekutif Rahim and Co International Siva Shanker memberitahu FMT bahawa pengurangan nilai ambang dari RM1 juta ke RM600,000 itu bukanlah “pil ajaib” bagi masalah hartanah tidak terjual yang dihadapi oleh Malaysia.
Siva berkata, ini kerana angka pemilikan rumah oleh warga asing di negara ini tidak besar.
Bagaimanapun katanya, nilai ambang baru itu boleh menarik rakyat Singapura kerana harga RM600,000 adalah bersamaan dengan S$200,000.
“Mungkin ramai rakyat republik itu yang melihat perkembangan tersebut sebagai satu peluang pelaburan,” katanya.
Siva, yang merupakan bekas presiden Institut Ejen Hartanah Malaysia, menggesa pelaksanaan dasar yang konsisten dengan berkata ia penting kepada pelabur.
Jika nilai unit yang dibeli pada harga RM600,000 meningkat kepada RM800,000 selepas beberapa tahun dan kerajaan mengambil langkah meningkatkan nilai ambang kepada RM1 juta, maka pemiliknya tidak akan dapat menjual semula hartanah itu kepada pembeli asing, kata beliau.
“Pelabur akan terperangkap.”
Ketua pegawai operasi Henry Butcher Malaysia Tang Chee Meng berkata, ramai warga asing mungkin berminat terhadap hartanah berharga lebih RM1 juta di KLCC, Mont Kiara dan dan beberapa lokasi lain.
“Walaupun pengurangan nilai ambang itu mungkin mendorong jualan kepada warga asing, tetapi kami tidak menjangka pembeli asing akan membanjiri pasaran,” katanya.
“Selain itu, urusan tanah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Mungkin ada negeri yang tidak mengguna pakai harga lantai RM600,000 itu dan mengekalkan nilai ambang harga semasa atau mengurungkannya pada kadar lebih rendah.”
Ejen hartanah Yap Seng Huat lebih optimis dan berkata, beliau percaya langkah itu akan menarik minat pembeli dari Hong Kong dan China.
“Terdapat banyak hartanah berharga di bawah RM1 juta di Kuala Lumpur yang menjanjikan pulangan pelaburan yang baik, terutama di kawasan sekitar KLCC dan Mont Kiara,” katanya.
“Langkah itu akan membantu pemaju dan pemilik hartanah tempatan melepaskan unit tidak terjual dan ini baik untuk pasaran hartanah.”
Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Soam Heng Choon baru-baru ini mempertahankan keputusan kerajaan itu dengan berkata, ia membantu pemaju melepaskan unit tidak terjual dan membuat pelaburan baru dalam projek perumahan mampu milik.
Hartanah yang termasuk dalam langkah pengurangan nilai ambang harga itu terhad kepada hartanah strata pencakar langit di George Town, Kuala Lumpur Johor Bahru dan beberapa bandar di Selangor.