
Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya akan menyalurkan bantuan itu menerusi Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bagi memastikan pelumba berusia 25 tahun itu dapat terus kekal bersaing di pentas permotoran antarabangsa.
“Saya telah berhubung dengan (Ketua Pegawai Eksekutif SIC), Razlan Razali dan saya akan pastikan beliau beraksi dalam saingan Moto2 walaupun Petronas tidak mahu menaja Hafizh Syahrin,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kad kenangan kepingan emas lagenda sukan negara oleh Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), di Galeri KBS di sini semalam.
Untuk rekod, Hafizh merupakan pelumba Malaysia pertama bersaing dalam kelas perdana MotoGP pada 2018 dengan menyertai pasukan Yamaha Tech3 Racing.
Bagaimanapun, pelumba kelahiran Ampang, Selangor itu, terpaksa bergelut pada musim ini selepas bertukar kepada jentera KTM, yang menyaksikan beliau gagal meraih keputusan memberangsangkan.
Ekoran daripada itu, pasukan KTM Tech3 tidak meneruskan kontrak Hafizh bagi musim depan, sehingga memaksa kembali beraksi dalam kelas Moto2, bersama pasukan Angel Neito Team.
Beliau juga bakal berdepan situasi lebih sukar, apabila bakal mengharungi tempoh semusim tahun depan tanpa dibayar gaji.
Dalam pada itu, Syed Saddiq menafikan KBS bersikap lepas tangan dengan tidak membantu industri sukan permotoran, susulan pembentangan Belanjawan 2020 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat, minggu lalu.
Beliau sebaliknya menegaskan, KBS telah menyalurkan jumlah dana yang agak banyak kepada SIC, sebelum ini dalam mengasah lebih ramai bakat-bakat baru dalam sukan permotoran di negara ini.