Memandu dalam keadaan hujan bukan suatu perkara yang mudah untuk diharungi, lebih-lebih lagi pada mereka yang menunggang motosikal.

Ini kerana jalan raya yang basah boleh menjadi bahaya ketika anda memandu dan ia memerlukan kepekaan semua pihak supaya perlu berhati-hati bagi mengelakkan kemalangan.
Dalam keadaan ini, anda perlu mempunyai jarak yang cukup supaya anda boleh mengawal setiap kecemasan yang berlaku.
Begitu juga bagi penunggang motosikal, anda lebih berbahaya kerana tayar lebih kecil dan boleh tergelincir bila-bila masa sahaja.
Berikut tips yang anda perlu amalkan :
1. Pilih pakaian yang sesuai
Paling utama, pakaian anda perlu sesuai. Disebabkan sekarang musim tengkujuh sedang melanda, penunggang motosikal perlulah menyediakan baju hujan dan memakainya setiap kali perlu menunggang motosikal.
Selain itu, pakaian yang dipakai perlu dipilih daripada material poliester atau sintetik agar ia lebih cepat kering jika terkena air.
Sebaliknya, cuba elak dari mengenakan baju “cotton” kerana bukan sahaja ia lambat kering, malahan juga susah untuk dicuci jika terkena kotoran jalan raya.
2. Sarung helmet yang cerah
Dalam pada itu, pakaian juga harus berwarna cerah bagi memudahkan orang lain melihat anda.
Begitu juga dengan helmet. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa ada helmet yang direka khas untuk tunggangan situasi tertentu seperti waktu malam dan hujan.
Helmet jenis ini perlu dipakai ketika musim tengkujuh kerana ia mempunyai ciri khas seperti serta mempunyai pelekat pemantul cahaya (reflektor).
3. Guna sarung tangan dan kasut
Sebagai seorang penunggang motosikal, anda perlu menggunakan sarung tangan bagi memastikan tangan tidak tergelincir dari “throttle” lalu membahayakan anda.
Selain itu, ia juga patut digunakan untuk menghindarkan hujung jari mengecut.
Selain itu, kasut antara pakaian yang penting untuk digunakan semasa menunggang motosikal dalam cuaca yang tidak baik. kasut juga mampu mengelakkan kaki anda luka terkena serpihan batu atau pasir dari jalan raya.
4. Sentiasa pasang lampu
Jika tidak memasang lampu semasa menunggang motosikal, ia adalah kesalahan mandatori. Jadi, tidak ada alasan untuk anda tidak menggunakan lampu ketika hujan.
Namun jangan pula anda pasang “high beam” atau signal pula kerana takut ia akan mengelirukan pengguna jalan raya lain pula nanti.
5. Elak lopak air
Lopak air akan menyebabkan cengkaman tayar menjadi kurang lekat. Selain itu, lopak air yang dalam akibat jalan berlubang mungkin akan mengakibatkan anda jatuh daripada motosikal.
Jadi, cuba elak lopak air. Namun, jangan pula anda menunggang terhuyung-hayang macam orang mabuk semata nak mengelak lubang pula!
6. Bawa berhati-hati
Meskipun kedengaran klise, namun ini adalah tips yang penting.
Buat penunggang motosikal, sila bawa dengan berhati-hati, perlahan dan cermat.
Apabila tiba di simpang, sila perlahankan motosikal dan tukar ke gear yang lebih rendah terutamanya jika membelok.
Tetapi, jangan tarik brek secara mengejut pula. Ia akan mengakibatkan motor anda hilang kawalan pula nanti.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]