
MTUC berkata, kerajaan bertanggungjawab memastikan pendatang asing menikmati hak asasi manusia asas, dengan menambah bahawa mereka masih berdepan masalah walaupun wujud perlindungan Perkeso.
“Dengan menyediakan perlindungan itu kepada pekerja tanpa dokumen, kerajaan bukan sahaja akan mematuhi C19, tetapi juga boleh mengadakan mekanisme perlu bagi mengesahkan pekerja ini,” kata setiausaha agung MTUC, J Solomon, merujuk kepada konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang menghendaki negara-negara memastikan kesaksamaan layanan kepada semua pekerja.
Pekerja asing di Malaysia tertakluk di bawah Akta Pampasan Pekerja, bagaimanapun tahun lepas, Putrajaya berkata mereka akan diletakkan di bawah perlindungan Perkeso.
Solomon berkata, kesatuan bimbang berhubung nasib ramai pekerja asing tanpa dokumen yang dinafikan hak perlindungan di bawah mana-mana skim sekiranya berlaku kemalangan di tempat kerja.
C19 atau Konvensyen ILO 19 menghendaki negara-negara memastikan kesaksamaan layanan untuk semua pekerja.
“Penting dipastikan pendatang asing tidak dianiayai di Malaysia kerana ia mempunyai hubungan langsung dengan nasib pekerja tempatan serta hak mereka untuk menikmati hak asasi serta kualiti hidup yang menusabah,” katanya.