Remaja tumbuk penjual selepas gagal curi roti

Remaja tumbuk penjual selepas gagal curi roti

Video yang membangkitkan kemarahan pengguna media sosial ditonton hampir 520,000 kali di Facebook.

Tangkap layar video yang tersebar menunjukkan remaja lelaki menumbuk penjual roti selepas gagal mencuri roti.
PETALING JAYA:
Satu video menunjukkan seorang remaja menumbuk penjual roti selepas kantoi cuba mencuri beberapa bungkus roti menerima kritikan pengguna media sosial.

Dalam klip berdurasi 54 saat yang ditonton hampir 520,000 kali di Facebook, kelihatan seorang remaja lelaki berbaju merah berjalan dengan santai selepas mengambil beberapa bungkus roti daripada motor penjual roti.

Penjual yang menyedari perbuatan remaja tersebut mengejarnya dan cuba mengambil semula roti yang dicuri, tetapi remaja itu enggan menyerahkannya kembali.

Akhirnya, remaja terbabit berlalu tetapi sempat menumbuk perut penjual roti itu menyebabkan lelaki itu tertunduk menahan kesakitan.

Remaja itu kemudian berjalan ke arah motosikal yang sedang menunggunya dan melarikan diri. Kejadian itu turut disaksikan pelanggan lain.

Video itu menerima lebih 4,000 maklum balas yang marah dengan mengutuk perbuatan remaja tersebut.

Seorang pengguna media sosial, Esther Ong, mempersoalkan mengapa tiada seorang pun yang membantu lelaki itu, manakala Nadiatul Erma Kassim menggesa polis menangkap remaja terbabit.

https://www.facebook.com/kader.ibrahimz/videos/1411177839056948/

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.