PMO: Dr M tak terlibat, tak tahu isi kandungan komik ‘Jalur dan Jalan’

PMO: Dr M tak terlibat, tak tahu isi kandungan komik ‘Jalur dan Jalan’

Komik 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama' dibawa tanpa melalui prosedur dan saluran yang betul.

PETALING JAYA: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak pernah terlibat dalam penerbitan buku komik kontroversi, “Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama” atau mengetahui isi kandungannya.

Pejabat Perdana Menteri juga berkata buku itu bukan hadiah rasmi semasa pertemuan dua hala dengan Presiden China Xi Jinping di Forum Jalur dan Laluan untuk Kerjasama Antarabangsa ke-2, dan ia dibawa “tanpa melalui prosedur dan saluran yang betul”.

“Perdana menteri juga tidak pernah memberi persetujuan agar gambar beliau digunapakai untuk apa-apa tujuan atau memberi kebenaran agar komik tersebut diedarkan di sekolah,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Kenyataan itu menjelaskan komik yang tertera gambar Mahathir dan menjawab keterangan yang menyebut komik itu dihadiah kepada Xi oleh beliau sendiri semasa pertemuan itu.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan menegaskan ia tidak pernah memberi kebenaran dan kelulusan untuk pengedaran komik itu kepada institusi pendidikan, termasuk sekolah.

Kenyataan itu menyusuli laporan yang diterima berkaitan edaran komik itu ke sekolah di seluruh Malaysia.

Kementerian Dalam Negeri pula berkata tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang terbabit dalam penerbitan dan pengedaran komik “yang didakwa berunsur propaganda”.

Ia sudah mengenal pasti identiti pihak yang terbabit termasuk pengarangnya dan Bahagian Keselamatan KDN diminta untuk mengambil keterangan daripada pihak berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.