Pesakit Zika di Perak mungkin mati akibat jangkitan virus tempatan

Pesakit Zika di Perak mungkin mati akibat jangkitan virus tempatan

Ketua pengarah kesihatan berkata, kes Zika pernah dilaporkan di Bentong, Pahang, pada 1960-an.

Virus Zika disebarkan menerusi nyamuk Aedes yang turut menyebabkan demam denggi dan chikungunya. (Gambar AFP)
IPOH:
Kementerian Kesihatan tidak menolak kemungkinan kes kematian seorang lelaki di Manjung akibat Zika berpunca daripada jangkitan virus tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata Kementerian Kesihatan sedang melakukan siasatan dan tindakan susulan.

“Besar kemungkinan (jangkitan) penyakit Zika itu asal tempatan berdasarkan siasatan. Penyiasatan selanjutnya sedang dijalankan.

“Untuk makluman, kes Zika pernah dilaporkan pada 1960-an di Bentong, Pahang,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada Bernama hari ini.

Hisham mengulas kematian seorang lelaki berumur 30 tahun akibat virus Zika awal pagi tadi yang merupakan kes jangkitan kesembilan di Malaysia sejak 2016.

Mangsa yang disahkan positif jangkitan virus Zika berdasarkan ujian pengesahan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada 13 Okt lalu meninggal dunia di Hospital Manjung kira-kira 4.45 pagi tadi.

Virus Zika disebarkan menerusi nyamuk Aedes, iaitu nyamuk sama yang menyebabkan demam denggi dan chikungunya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.