Najib keluar dari Bukit Aman selepas 1 jam

Najib keluar dari Bukit Aman selepas 1 jam

Bekas perdana menteri itu berkata, beliau memberi keterangan sebagai saksi berhubung catatan di Facebook 'Nga Kor Ming Super Fans Page'.

Najib Razak bercakap kepada wartawan selepas memberi keterangan selama sejam di Bukit Aman hari ini.
KUALA LUMPUR:
Najib Razak meninggalkan Bukit Aman sejam selepas memberi keterangan bagi membantu siasatan ke atas catatan di Facebook “Nga Kor Ming Super Fans Page”.

Bekas perdana menteri itu yang berkongsi tangkap layar catatan Facebook itu, berkata beliau diminta memberi keterangan sebagai saksi.

“Mereka tanya saya mengenai catatan itu, alasan bagi catatan saya dan apa yang saya buat dengannya,” katanya yang ditemani peguamnya di luar Bukit Aman hari ini.

Bagaimanapun, ahli Parlimen Pekan itu enggan mendedahkan butiran lanjut kerana siasatan masih berterusan.

“Saya biarkan polis ambil tindakan lanjut.”

Facebook “Nga Kor Ming Super Fans Page” dikatakan memuat naik satu catatan menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 29 Sept lalu.

Najib berkongsi tangkap layar catatan itu yang didakwa mengajak kaum Cina mengadakan protes terhadap sultan kerana tidak membenarkan penggunaan tanda jalan dwibahasa di Selangor.

Beliau turut mendakwa laman itu ada kaitan dengan Nga.

Tetapi, Nga yang juga pengerusi DAP Perak menafikan beliau dan DAP terlibat dalam memuat naik catatan itu serta menegaskan akaun itu ialah akaun palsu yang menyamar sebagai dirinya dan parti berkenaan.

Beliau ke Bukit Aman awal bulan ini untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes itu di bawah Akta Hasutan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.