Menteri cadang kurangkan harga rumah tanpa parkir dekat stesen kereta api

Menteri cadang kurangkan harga rumah tanpa parkir dekat stesen kereta api

Loke Siew Fook berkata, selain mampu mengurangkan harga rumah, cadangan itu juga mampu menggalakkan penduduk menggunakan pengangkutan awam.

Loke Siew Fook (tiga dari kanan) melawat pameran selepas merasmikan Pameran Hartanah Malaysia di Kuala Lumpur hari ini. Turut hadir Presiden Rehda, Soam Heng Choon (empat dari kiri). (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook mencadangkan tempat letak kereta dijadikan pilihan bagi kawasan perumahan baru berdekatan stesen kereta api untuk mengurangkan harga hartanah dan menggalakkan penduduk menggunakan pengangkutan awam.

Beliau berkata, ini ialah satu daripada cara untuk mengurangkan kos sara hidup dan kerajaan disaran menjalankan projek perintis bagi hartanah berdekatan stesen LRT, MRT dan Monorail di Lembah Klang.

“Tidak semua orang yang beli rumah memiliki kenderaan.

“Daripada mereka tidak guna parking tersebut, lebih baik kita berikan pilihan untuk beli rumah tanpa parkir pada harga lebih murah,” katanya selepas merasmikan Pameran Hartanah Malaysia di sini hari ini.

Loke berkata, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) boleh mencadangkan projek tertentu kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk pertimbangan.

Sementara itu, Presiden Rehda, Soam Heng Choonm berkata, setiap tempat letak kereta menelan belanja RM50,000.

Beliau memberi contoh rumah di sekitar Lembah Klang berharga RM500,000 ke atas dan pembeli boleh jimat 15 hingga 20 peratus jika membeli unit tanpa parkir.

“Kita boleh turunkan harga rumah. Sekarang disebabkan syarat untuk mempunyai tempat letak kereta secukupnya, harga rumah menjadi tinggi.”

Katanya, Rehda menyuarakan cadangan itu selepas mempertimbangkan ada pengangkutan awam mencukupi dan kenapa pembeli perlu membayar lebih untuk rumah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.