
Ha Jae-hun kehilangan kedua-dua kakinya ketika berusia 21 tahun selepas terpijak periuk api ketika bertugas menjaga Zon Demiliterisasi (DMZ) di Korea Utara pada 2015.
Ha meninggalkan pasukan tentera selepas kejadian malang itu dan kini menyertai pasukan mendayung paralimpik dan sedang menjalani latihan di Stadium Misari Rowing.
Beliau ternyata berjaya mengubah hidupnya apabila memenangi beberapa pertandingan tempatan dan antarabangsa.
Dan kemenangan terbaru yang dicapainya iaitu ketika menyertai pertandingan sukan tempatan sehingga berjaya merangkul emas selepas memecah rekod sendiri pada tahun lepas iaitu dengan catatan masa lebih 30 saat.
Ha optimis walaupun sebagai pendatang baru beliau mampu mencipta kejutan dalam kejohanan di Tokyo dan sekaligus merangkul emas di Perancis pada tahun 2024 kelak.
“Ia adalah perlumbaan pertama saya tahun lepas. Saya tidak mempunyai kemahiran, tetapi ada kekuatan fizikal, dan saya menang. Ia benar-benar mendebarkan, saya berpuas hati dan mengatakan kepada diri sendiri, ‘inilah dia’,” kata Ha.
Menurut jurulatihnya Lim Myung-woong, kekuatan fizikal dan semangat kental serta disiplin yang diperoleh Ha semasa beliau dalam tentera merupakan pembakar semangat kepadanya untuk terus beraksi dalam sukan lasak ini.
Ha kini berharap dapat mengubah hidupnya dengan kemahiran yang dia ada iaitu mendayung dalam kejohanan paralimpik pada musim panas tahun depan.
“Saya hanya merasa sangat tenang ketika berada di dalam bot di atas air kali pertama.
“Namun saya perlu berhati-hati dan terus fokus supaya saya terus selesa dan tidak diganggu dengan hal-hal lain,” kata Ha semasa sesi latihannya.
Kejadian pada Ogos lalu telah mengubah kehidupan Ha yang kini terpaksa bergantung kepada kaki prostetik.
Namun dia tetap bersyukur kerana boleh berjalan semula meskipun “seperti bayi mengambil langkah pertama”.