Najib tempelak DAP berhubung ‘komik propaganda’ diedar ke sekolah

Najib tempelak DAP berhubung ‘komik propaganda’ diedar ke sekolah

Penerbit komik berkenaan, Asia Comic and Cultural Museum yang diketuai oleh Hew Kuan Yew berkata, ia adalah berkaitan Inisiatif Jalur dan Laluan China.

Petikan buku komik yang didakwa diedarkan ke sekolah menengah kebangsaan dan jenis kebangsaan.
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini menolak buku komik yang diedarkan ke sekolah menengah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan dengan berkata, ia mengandungi propaganda DAP dan menyasarkan beliau.

Penerbit komik berkenaan, Asia Comic and Cultural Museum yang diketuai oleh Hew Kuan Yew dari DAP berkata, ia adalah berkaitan Inisiatif Jalur dan Jalan China (BRI).

“Ia bagi membolehkan pelajar mengetahui lebih banyak mengenai dasar mega BRI, dari sudut teori dan praktis, kata Hew, yang awal tahun ini dilantik sebagai pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-China (MCBC), kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun Najib berkata, buku bertajuk “Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama” (Belt and Road Initiative for Win Winism), menjatuhkan maruah diri beliau, keluarganya dan kerajaan sebelum ini.

Dalam pada itu, kerajaan Pulau Pinang menjarakkan diri daripada penerbitan komik berkenaan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, pentadbirannya hanya membantu memajak ruang kedai untuk Asia Comics and Cultural Museum di Mall IT Komtar.

“Kami tidak tahu apa-apa tentang buku komik itu kerana DAP Pulau Pinang tidak terlibat. Museum itu juga tidak ada kaitan dengan DAP,” kata Chow hari ini.

Penelitan mendapati buku komik itu mengandungi karikatur Najib dan isteri beliau, Rosmah Mansor, selain ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho atau Jho Low yang dikehendaki kerana peranannya dalam skandal 1MDB.

Di satu halaman, karektor seekor kuching membuat komen tentang barangan kemas Rosmah, selain berkait cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dimansuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Di halaman lain, Najib digambarkan mentertawakan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dengan berkata, “orang tua itu sedang memalukan (diri) sendiri”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.