
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat penerbangan nasional itu berkata Fly Malaysia akan mempromosikan Malaysia secara besar-besaran sebagai destinasi pilihan, kerana syarikat penerbangan itu akan bekerjasama rapat dengan Tourism Malaysia.
“Kempen ini juga adalah untuk menggalakkan rakyat Malaysia memainkan peranan dengan mengambil bahagian dalam beberapa inisiatif media sosial syarikat penerbangan itu dalam mempromosikan negara,” katanya.
Kempen Fly Malaysia itu akan dapat dilihat melalui iklan dan saluran media sosial MAB sepanjang tempoh suku keempat 2019 sehingga akhir tahun 2020.
MAB juga akan memulakan lebih banyak kempen jualan bersama syarikat penerbangan sekutunya, Firefly dan MASwings, bagi menggalakkan rakyat Malaysia melancong ke dalam negara dan menghubungkan pelancong ke Malaysia.
“Kami juga akan bekerjasama dengan badan pelancongan negeri di seluruh Malaysia untuk mempromosikan destinasi domestik,” katanya.
Sepanjang kempen itu, logo “Wau” syarikat penerbangan tersebut, akan dibentuk dengan motif kebaya ikonik bersama reka bentuk batik tradisional, yang mempersembahkan budaya, warisan dan kepelbagaian Malaysia.