
“Ia akan membantu penyediaan sistem pengangkutan yang berkualiti dan ini pastinya akan membantu usaha kerajaan memenuhi aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju,” kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam ucapan perasmian.
Majlis pelancaran disempurnakan di KL Sentral itu turut dihadiri Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.
Kata Loke, buat pertama kali dalam sejarah kementerian itu, malis pelancaran dibuat di hub pengangkutan terkenal negara dengan KL Sentral dipilih sebagai tempat pelancaran.
“Kebiasaannya kita lancarkan di hotel dan pusat konvensyen. Tapi tidak hari ini,” katanya ketika memperkenalkan teras dasar pengangkutan baru negara.
Optimum penggunaan rel
Dalam pada itu, Mahathir berkata, kerajaan sedia mengkaji kegunaan rel tren kepada sektor swasta bagi memastikan penggunaan optimum rel sedia ada dapat dicapai.

“Ketika lawatan saya di Jepun, saya lihat, (tren) masuk stesen keluar stesen tak berhenti. Maksudnya, ia ‘fully utilised’ (guna penuh).
“Tapi di Malaysia, kita kena tunggu kadang-kadang sejam sampai tren seterusnya tiba,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran terbabit.
Kata Mahathir, ia bermaksud negara sudah melakukan pelaburan untuk membuat rel pengangkutan awam, tetapi tidak digunakan.
“Macam kita labur (bina) lapangan terbang, tapi tak guna kapal terbang.”
Beliau berkata, lebih ramai rakyat kini memilih untuk menggunakan perkhidmatan ETS, LRT dan MRT.
“Saya difahamkan tiket ETS sentiasa habis, terutama pada musim perayaan, cuti umum dan cuti sekolah.”
Katanya kerajaan akan meneruskan usaha bagi meningkatkan kualiti pengangkutan rel, sama ada untuk penumpang atau kargo.
Ini katanya, akan dilakukan dengan menaik taraf rangkaian rel sedia ada selain membina laluan lain, termasuk ke Bukit Kayu Hitam dan lintasan Serendah-Pelabuhan Klang.
Terdahulu, Loke dalam ucapan alu-aluan mengumumkan lima teras Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 iaitu;
i. memperkukuh tadbir urus ke arah persekitaran yang kondusif bagi sektor pengangkutan.
ii. mengoptimum, membina dan menyelenggara infrastruktur pengangkutan, perkhidmatan dan rangkaian bagi memaksimumkan kecekapan.
iii. memperkukuhkan aspek keselamatan, integrasi, ketersambungan dan kebolehcapaian bagi perjalanan yang lancar.
iv. maju ke arah ekosistem pengangkutan hijau dan
v. memperluas jejak global dan mempromosikan pengantarabangsaan perkhidmatan pengangkutan.
DPN bertujuan membangunkan sektor pengangkutan yang mampan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat.
