
Uefa berkata ia menyiasat “kemungkinan tingkah laku provokasi politik” para pemain semasa perlawanan di Paris pada Isnin dan satu lagi perlawanan kelayakan Euro 2020 melawan Albania pada 11 Okt.
Olivier Giroud menyumbat gol untuk Perancis pada minit ke-75 sebelum Kaan Ayhan menyamakan kedudukan enam minit kemudian. Rakan sepasukannya kemudian berbaris di hadapan penyokong dengan bertabik.
Menteri Sukan Turki, Mehmet Kasapoglu mempertahankan tindakan pasukan itu, dengan menyatakan Uefa pilih kasih melancarkan siasatan apabila tidak melakukan perkara yang sama semasa pemain Perancis, Antoine Griezmann, yang bertabik ke arah Presiden Emmanuel Macron.
“Saya ingin mengatakan bahawa komuniti sukan global tidak akan tertipu dengan tindakan seperti ini, oleh mereka yang cuba membawa ketidakjayaan mereka di padang ke tempat lain,” kata Kasapoglu yang dipetik media kerajaan.
“Mereka yang tidak mengatakan apa-apa tentang tabik Griezmann pada hari itu, cuba mengalih perhatian apabila pemain kita memberi ‘tabik yang cantik’,” katanya sambil menggesa Uefa agar “bertindak dengan bijak”.
Turki mendahului Kumpulan H kelayakan Euro 2020, dengan mengatasi Perancis dengan perbezaan gol.
Ankara melancarkan serangan ke atas Syria sejak minggu lalu, mencetuskan protes banyak negara.