Saya tidak lahir pengganas, Zakir Naik jawab dakwaan NIA

Saya tidak lahir pengganas, Zakir Naik jawab dakwaan NIA

Zakir Naik mendakwa NIA membuat 'kenyataan semberono' mengenainya tanpa sebarang bukti atau keterangan walaupun menghabiskan masa bertahun-tahun menyiasatinya.

Penceramah kontroversi Dr Zakir Naik.
PETALING JAYA:
Penceramah kontroversi Dr Zakir Naik menyelar Agensi Penyiasatan Kebangsaan (NIA) India hari ini atas dakwaan majoriti penyokong IS yang ditahan di negara itu terpengaruh melalui videonya.

Beliau juga mendakwa NIA membuat “kenyataan semberono” mengenainya tanpa sebarang bukti atau keterangan walaupun menghabiskan masa bertahun-tahun menyiasatinya.

“NIA, CBI (Biro Penyiasatan Pusat) dan polis menghabiskan lebih tiga tahun menyiasat beribu-ribu video, ucapan dan bahan bercetak saya, tetapi tidak membuat satu kenyataan sekali pun mengenai video atau secara bertulis yang mengatakan saya mempromosikan keganasan.

“Namun ia mendakwa 127 orang yang ditahan dalam aktiviti keganasan dipengaruhi oleh saya. Ini adalah satu pembohongan terang-terangan,” katanya dalam satu kenyataan.

NIA dilaporkan berkata pada Isnin bahawa majoriti 127 orang yang ditahan di beberapa bahagian berbeza negara itu yang dikaitkan dengan IS mendapat inspirasi dari video yang memaparkan Naik.

Ketua penyiasat agensi itu, Alok Mitta, dipetik sebagai berkata ini adalah mengapa kes itu dikaitkan dengan Naik dan yang lain.

Bagaimanapun, Naik berkata hanya mengikuti seseorang di media sosial tidak membuat seseorang menjadi pengganas.

Naik juga mendakwa NIA “sengaja berbohong secara terbuka” mengenai perkara itu, mengatakan ia “jelas” individu yang dipersoalkan itu dipengaruhi oleh sebab atau orang lain.

Naik yang memegang status pemastautin tetap di Malaysia, turut menjemput Mitta melawatnya di negara ini jika perlukan penjelasan lebih lanjut.

“Saya boleh menerimanya sebagai tetamu di Malaysia pada bila-bila masa dan membetulkan tanggapan salah NIA terhadap saya. (Tetapi) sama ada Mitta menerima undangan saya atau tidak, NIA mesti menghentikan usaha memburu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.