Saksi: Perbualan telefon tak direkod minit mesyuarat lembaga pengarah 1MDB

Saksi: Perbualan telefon tak direkod minit mesyuarat lembaga pengarah 1MDB

Bekas pengarah mengarahkan perbualan telefon dengan Najib Razak semasa mesyuarat usahasama 1MDB-PSI International tidak direkodkan, kata bekas CEO.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bekas pengarah dan pengerusi 1MDB Mohd Bakke Salleh mengarahkan supaya perbualan telefon antara beliau dengan Najib Razak semasa mesyuarat usahasama 1MDB-PetroSaudi International Ltd (PSI International) pada 2009 tidak direkodkan.

Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata mesyuarat khas lembaga pengarah (BOD) 1MDB yang dipengerusikan Bakke pada 26 Sept 2009 itu diadakan bagi membuat keputusan sama ada pihak lembaga akan meneruskan usahasama antara dua syarikat berkenaan.

Semasa pemeriksaan balas oleh ketua pihak pembelaan Najib, Muhammad Shafee Abdullah, Shahrol Azral, 49, berkata mesyuarat itu turut dihadiri ahli perniagaan yang sedang diburu Low Taek Jho atas undangannya.

“Saya undang Low ke mesyuarat itu supaya dia dapat memberikan penjelasan terus kepada BOD mengenai intipati yang berkaitan PSI International, bagaimana ia inisiatif Government-to-Government (G2G) dan bagaimana ia boleh muncul. Di awal mesyuarat lagi Bakke menerima panggilan telefon, yang didail oleh Low, sebelum diserahkan kepadanya.

“Sebaik menerima telefon dari Low, Bakke berkata ‘PM’ kepada kami, dan terus meninggalkan kami di bilik itu. Apabila dia kembali saya tidak ingat dengan tepat kata-katanya, tapi yang penting dia beritahu yang dia bercakap dengan Najib, dan dia (Najib) beritahunya ia inisiatif G2G, tidak boleh dilewatkan, atau katanya ‘disegerakan’,” katanya.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata semasa Bakke memberikan maklumat berkenaan kepada BOD, mereka menganggapnya sebagai sesuatu yang amat penting, yang membawa kepada jumlah soalan yang sedikit sahaja yang dibangkitkan oleh BOD mengenai penilaian aset.

“Bakke kemudiannya mengarahkan supaya panggilan telefon itu tidak direkodkan dalam minit mesyuarat. Kalau tidak silap, saya malah mencadangkan supaya audio mesyuarat dirakam, namun dia ( Bakke) tidak bersetuju,” katanya.

Semasa ditanya lagi oleh Shafee, Shahrol menjelaskan 1MDB meneruskan usaha sama 1MDB-PSI itu, tanpa mengesahkan nisbah pemegang saham antara dua syarikat.

“Ketika itu kami sudah ada penilaian indikatif yang membolehkan kami melaksanakan penilaian lebih terperinci kemudiannya. Perkara utama yang penting di sini ialah ia memang sebenarnya transaksi G2G, di mana Najib mahukan supaya ia berjalan lancar, dan perkongsian dengan Saudi adalah amat penting sekali.

“Pemilikan saham sudah mencapai nisbah 60:40, namun rasionalnya ialah 40 peratus milik kami akan dicairkan sekiranya penilaian mereka lebih tinggi. Kami meneruskannya berdasarkan G2G dan kami akan mempunyai keupayaan untuk merundingkannya lagi selepas itu,” katanya.

Shahrol berkata BOD meneruskannya dengan asas ini pihak yang baik dan diiktiraf Najib.

Terdahulu semasa ditanya peguam, saksi itu bersetuju beliau tidak dapat mengesahkan rekod sejarah PSI International sebelum membentangkan maklumat mengenai syarikat tenaga itu kepada BOD.

Shahrol berkata PSI International mendakwa mereka memiliki projek di Eropah, Amerika Latin, dan Asia Tengah, berdasarkan kepada maklumat ringkas syarikat yang disediakan, namun dia tidak pernah berusaha mendapatkan bukti yang cukup.

“Saya tidak lihat sebarang laporan tahunan, kami banyak bergantung kepada makluimat yang diserahkan oleh PSI,” katanya.

Saksi utama pihak pendakwaan itu juga tidak menolak kemungkinan Najib mungkin ditipu oleh Low, yang digambarkan beliau sebagai “pengarah orkestra”.

“Sejujurnya sukar bagi saya membuat komen daripada ruang saya yang terbatas. Kerja-kerja manipulasi dilakukan dengan penyamaran yang yang baik seperti ‘ini untuk kebaikan negara, untuk kebaikan perdana menteri’, tapi saya tidak tahu apa yang perdana menteri tahu ketika itu, jadi sukar untuk saya beri sebarang komen,” katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan juga menghadapi 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.