Saksi: 1MDB dengan salah tandatangan perjanjian AS$1 bilion

Saksi: 1MDB dengan salah tandatangan perjanjian AS$1 bilion

Dana kekayaan negara itu berunding dengan PetroSaudi International Ltd (PSI) tetapi menandatangani perjanjian dengan Petro Saudi Holdings (Cayman) Ltd pada 2009.

Shahrol Azral Ibrahim Halmi.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi diberitahu 1MDB dengan salah menandatangani perjanjian usaha sama bernilai AS$1 bilion dengan sebuah syarikat yang dikatakan milik ahli perniagaan Low Taek Jho, kata laporan agensi berita Bernama.

Dana kekayaan negara itu berunding dengan PetroSaudi International Ltd (PSI) tetapi menandatangani perjanjian dengan Petro Saudi Holdings (Cayman) Ltd pada 2009.

Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, memberitahu mahkamah pasukan peguam Wong & Partners diketuai Casey Tang yang menyemak perjanjian itu dan mereka tidak menunjukkan sebarang keraguan.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata demikian ketika diperiksa balas oleh peguam Najib Razak, Shafee Abdullah pada hari ke-23 perbicaraan bekas perdana menteri itu berhubung dana 1MDB.

Shafee: Kamu pasti meneliti perjanjian itu sebelum menandatanganinya. Jika tidak, kamu menyerahkan AS$1 bilion pada 2009. Ini perjanjian yang amat mahal dengan syarikat lain. Ada kamu tanya Tang boleh kamu tandatangan perjanjian itu?

Kamu CEO, tidakkah kamu akan kena tindakan jika berlaku sesuatu yang tidak kena? Bagaimana kamu hendak jelaskannya kepada lembaga pengarah (1MDB)?

Shahrol: Tang paling berpengalaman dalam 1MDB dan segala-galanya siap teratur dan beliau menunjukkan tidak ada yang tidak kena. Tang bekerja dengan Wong & Partners dalam perkara ini.

Shafee: Saya akan rasa gerun jika saya dalam kedudukan kamu kecuali jika saya pastikan kesahihannya. Adakah kamu minta penjelasan lanjut?.

Shahrol: Saya dapatkan penjelasan Tang.

Shafee: Kamu agak berpuas hati dengan penjelasan itu?

Shahrol: Ya.

Shafee: Saya andaikan, apabila difikirkan kembali, adakah kamu setuju ini keputusan tidak bijak?

Shahrol: Apabila difikirkan kembali, saya mungkin akan lakukan dengan cara lain tetapi saya tidak kata ia keputusan tidak bijak. Saya bergantung pada Tang. Dia menasihati saya untuk buat demkian.

Shafee: Ada kamu periksa perkara ini dengan Wong & Partners, umpamanya pendapat bertulis dalam perkara ini?

Shahrol: Tidak.

Shafee: Sekiranya kamu berbuat demikian, kamu mungkin tidak akan disyaki? Betul?

Shahrol: Betul.

Najib, 66, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion dari dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.