Silat, Muay Thai, Wushu dan Silambam bertemu di karnival Perak

Silat, Muay Thai, Wushu dan Silambam bertemu di karnival Perak

Karnival Sukan Kombat akan menghimpunkan silat, silambam, Muay Thai dan Wushu.

(Gambar Bernama)
IPOH:
Kerajaan Perak akan menganjurkan Karnival Sukan Kombat peringkat negeri yang menggabungkan empat sukan tempur iaitu silat, silambam, Muay Thai dan wushu bagi membentuk dan memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat.

Exco Pembangunan Belia dan Sukan Howard Lee Chuan How berkata karnival julung kali diadakan anjuran Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri itu akan berlangsung di AEON Big Falim selama dua hari bermula Sabtu ini.

Katanya, penganjuran empat sukan ini dalam satu karnival bagi mempamerkan satu budaya yang dikongsi bersama masyarakat seluruh dunia merentasi sempadan geografi dan wilayah.

“Karnival ini juga akan membuka peluang untuk atlet daripada pelbagai latar belakang yang berbeza untuk dipertemukan dan bergaul bersama sekali gus memberikan peluang untuk mereka memahami budaya dan cara hidup masing-masing.

“Sukan kombat atau tempur ini mempunyai potensi untuk menjadi pemecah kepada tradisi dominasi oleh sesuatu keturunan terutama dengan penampilan kemajmukan bukan hanya dari segi penyertaan tapi lebih daripada itu, menghargai perpaduan yang kita kecapi pada hari ini,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.

Lee berkata dalam membangunkan prestasi sukan kombat, beliau yakin karnival ini dapat mempamerkan usaha memupuk penerimaan ke atas pelbagai sukan yang wujud daripada masyarakat pelbagai kaum.

Selain itu, penganjuran karnival ini bertujuan memberi pendedahan kepada atlet sukan berkenaan untuk mengembangkan potensi olahraga ini di peringkat negeri dan kebangsaan.

“Seramai hampir 1,000 atlet dijangka menyertai karnival ini yang melibatkan Persatuan Silat Kebangsaan Perak, Persatuan Silambam Malaysia Perak, Persatuan Muay Thai Perak dan Persekutuan Wushu.

“Semua acara sukan kombat ini akan dijalankan mengikut peraturan dan undang-undang Persatuan Sukan Antarabangsa masing-masing,” katanya menambah sebanyak 476 pingat masing-masing emas dan perak manakala 952 pingat gangsa akan dianugerahkan kepada pemenang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.