
Mohd Zaid Abdul Jalil, 48, memaklumkan perkara itu ketika membaca penyataan saksinya pada hari keenam perbicaraan kes pecah amanah dan rasuah RM3 juta Isa berhubung pembelian MPHS bernilai RM160 juta oleh FIC, di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Saksi pendakwaan ke-15 itu berkata beliau mendapat arahan daripada Isa menerusi minit mesyuarat untuk membuat kajian dalam pembelian hotel berkenaan antara September hingga Oktober 2013.
“Minit tersebut dinyatakan dalam satu surat bertarikh 2 September 2013 yang dihantar oleh Syarikat Gagasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) kepada Pejabat pengerusi FIC. Seingat saya minit daripada Tan Sri Isa kepada saya adalah untuk saya mengkaji cadangan pengambilalihan MPHS.
“Megat Shahrul Azman dan Fathi Ahmad Shah (Bahagian Hospitaliti) telah membuat kertas cadangan pengambilalihan MPHS dan disemak oleh saya,” katanya yang memegang jawatan itu mulai 1 Ogos 2013 hingga 30 Jun 2015.
Zaid berkata Pengarah GAPSB, Ikhwan Zaidel dan Ibrahim Baki memaklumkan kepadanya mereka berjumpa Isa berkaitan penjualan hotel berkenaan kepada FIC.
“Mereka memberitahu berkaitan dengan nilai MPHS yang dibuat oleh Rahim & Co pada 1993 yang berjumlah RM180 juta. Saya memaklumkan kepada mereka pihak pengurusan FIC akan membuat penilaian terhadap MPHS,” katanya.
Saksi itu berkata dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (ALP) FICSB ke-6 pada 30 Disember 2013, beliau memaklumkan pada 2 September 2013, pihak FIC menerima surat cadangan daripada Syarikat GAPSB untuk syarikat itu mengambilalih hotel tersebut.
“MPHS terletak di lokasi tanah berstatus leasehold selama 999 tahun sehingga 2852. MPHS mempunyai 106 bilik hotel dan 97 unit apartment, sebuah grand ballroom, enam dewan pelbagai fungsi, enam F&B outlets, kolam renang, gimnasium dan pusat kesihatan serta 345 petak letak kenderaan.
“Berdasarkan keseluruhan penilaian awal yang dibuat oleh pihak pengurusan FIC, MPHS dijangka bernilai RM109,018,000. MPHS juga mempunyai potensi yang baik berdasarkan industri pelancongan berkembang di Kuching, Sarawak; ketibaan pelancong yang semakin meningkat; lokasi MPHS yang strategik dan pembangunan di kawasan sekitar yang berkembang pesat,” katanya.
Zaid yang juga bekas timbalan pengarah besar Felda (Servis Korporat) turut membuat pengecaman Minit Mesyuarat Lembaga Pengarah Felda Bilangan 303 pada 25 Jun 2013.
“Tujuan utama mesyuarat ini adalah untuk meluluskan cadangan penubuhan FIC. Antara Ahli Lembaga Pengarah Felda yang hadir ialah Tan Sri Isa Samad, Datuk Faizoull Ahmad, Samsudin Othman, Datuk Dr Omar Salim, Datuk Mohd Suhaili Said dan Tan Sri Dr Sabri Ahmad,” katanya.
Kepada soalan tambahan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz mengenai siapa yang dipertanggungjawabkan bagi memastikan mandat pelaburan Felda untuk pembelian MPHS tidak melebihi RM100 juta oleh FIC dipatuhi, Zaid berkata semua ALP FIC bertanggungjawab mengenainya.
Beliau berkata bagi pelaburan yang melebihi RM100 juta ke atas perlu dibawa dalam Mesyuarat ALP Felda untuk kelulusan kerana Lembaga Felda mempunyai kuasa mutlak untuk meluluskan cadangan pelaburan yang dikemukakan oleh FIC.
“Tiada pengecualian diberikan kepada ALP FIC mengenai mandat berkenaan oleh Lembaga Felda kerana berdasarkan mandat jelas dinyatakan FIC dibenarkan untuk membuat pelaburan bernilai RM100 juta ke atas tetapi perlu mendapat kelulusan Felda. Sekiranya kurang daripada RM100 juta, ALP FIC sendiri boleh putuskan,” katanya.
Afzainizam: Bolehkah kelulusan pelaburan lebih RM100 juta dibuat FIC diperolehi melalui cara makluman sahaja?
Zaid: Tidak, kerana kertas cadangan yang dibentangkan kepada Lembaga Pengarah Felda terbahagi kepada dua cara.
Kategori pertama kertas kelulusan dibentangkan untuk mendapatkan kelulusan Lembaga Pengarah Felda manakala kategori kedua iaitu kertas makluman yang mana ia sekadar memaklumkan kepada ALP Felda.
Isa, 70, menghadapi satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang didakwa dilakukan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 11 Dis 2015.
Perbicaraan yang masih berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan bersambung petang ini.