
Kemenangan pertama itu menghidupkan semula peluang skuad remaja kebangsaan untuk memburu tempat ketiga selepas mengumpul empat mata dalam empat perlawanan.
Bagaimanapun, babak pertama perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan gagal untuk memanfaatkan peluang yang terhidang menerusi pukulan sudut penalti selain cubaan gol padang yang tersasar dari gawang.
Selepas dibelasah 6-0 oleh New Zealand, kelmarin, skuad negara tidak patah semangat apabila menampilkan aksi yang lebih terpuji.
Muhammad Muhibuddin Moharam muncul wira pasukan bimbingan Nor Saiful Zaini Nasiruddin apabila menjaringkan gol tunggal pada minit ke-46 menerusi pukulan sudut penaliti, sekali gus mencalar rekod bersih Great Britain yang kini menduduki tangga kedua carta dengan sembilan mata.
Bagaimanapun, Great Britain dan India sudah mengesahkan tempat ke final selepas masing-masing mengumpul sembilan mata dan kedua-dua pasukan akan bertembung pada perlawanan terakhir pusingan awal, Jumaat ini.
Terdahulu, India mengesahkan slot final selepas menewaskan Australia 5-1.
Australia kini menghuni tangga ketiga dengan empat mata dan akan bertemu New Zealand, Jumaat ini.
Esok adalah hari rehat kejohanan.