Aset Tabung Haji melebihi liabiliti sekarang, kata Fuziah

Aset Tabung Haji melebihi liabiliti sekarang, kata Fuziah

Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, keuntungan bersih TH bagi separuh pertama tahun ini ialah RM815 juta.

Fuziah Salleh berkata, aset TH berjumlah RM74 bilion berbanding liabiliti RM72.2 bilion setakat 30 Jun lalu.
KUALA LUMPUR:
Lembaga Tabung Haji (TH) mencatatkan keuntungan bersih RM815 juta bagi separuh pertama tahun ini susulan pelaksanaan langkah penjimatan kos, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh.

Katanya, kedudukan keseluruhan TH kekal stabil setakat 30 Jun lalu dengan asetnya berjumlah RM74 bilion berbanding liabiliti RM72.2 bilion – perbezaan sebanyak RM1.8 bilion.

“Ini berbanding perbezaan RM1 bilion dalam aset dan liabiliti setakat 31 Dis 2018,” katanya menjawab soalan Hasan Arifin (BN-Rompin) mengenai hasil TH setakat Jun lalu.

Beliau berkata, TH tidak hanya bergantung kepada penjualan aset kerana pendapatannya turut datang daripada dividen, pegangan sukuk, pengaturan pajakan dan deposit bank.

Antara Jan hingga Jun, katanya, pendapatan TH berjumlah RM1.32 bilion yang datang daripada pelaburan aset tetap (RM663 juta), hartanah (RM292 juta) dan instrumen pasaran kewangan Islam (RM199 juta).

Setakat 30 Jun lalu, TH melupuskan aset bernilai RM1.219 bilion yang termasuk saham bernilai RM803.9 juta, instrumen kewangan dengan nilai buku RM405.3 juta dan hartanah bernilai RM10.4 juta.

Jumlah yang dikumpul daripada pelupusan aset ialah RM61.1 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.