
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong berkata pihaknya menyedari projek itu sudah lama dinantikan rakyat Terengganu dan optimis ia akan disiapkan menjelang September 2021.
“Memang projek velodrom ini telah diumumkan lama dah, dua menteri (terdahulu) dah umum, ini menteri ketiga (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman)…jadi saya rasa dalam pentadbiran menteri ketiga ni kita akan laksanakanlah.
“Sebenarnya dah masuk tender, kita laksanakan melalui tender terbuka dan prosesnya telah bermula. Saya harap menjelang Disember ini sudah dapat mulakan kerja-kerja pembinaan dan ia dijangka siap dalam masa dua tahun lagi,” katanya selepas merasmikan Sambutan Bulan Sukan Negara peringkat negeri Terengganu di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Terengganu, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.
Status velodrom itu menjadi tanda tanya kalangan rakyat Terengganu kerana pembinaannya diumumkan sejak 2010, namun masih tertangguh sehingga kini.
Mengulas lanjut, Steven berkata kos pembinaan velodrom tersebut ialah sebanyak RM14 juta dan berharap ia dapat melahirkan lebih ramai jaguh sukan berbasikal dari Terengganu.
“Terengganu memang negeri yang terkenal dengan kehebatan sukan berbasikal seperti pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) dan atlet bertaraf dunia seperti Mohd Azizulhasni Awang. Semoga lebih ramai bakat jaguh sukan berbasikal dapat dicungkil dengan adanya velodrom ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata KBS juga sedang dalam perancangan untuk membina pusat kecemerlangan sukan air di Pulau Duyong dekat Kuala Terengganu dengan kos RM10 juta, yang memberi fokus terhadap sukan air seperti perahu layar dan kenu.
“Cuma, sebelum ini ada sedikit halangan dari segi laluan masuk ke lokasi pusat itu. Namun bila kita maklumkan kepada Menteri Besar (Ahmad Samsuri Mokhtar) dalam satu pertemuan malam tadi, kerajaan negeri sudi menyelesaikan perkara itu.
“Kita berterima kasih kepada kerajaan negeri yang sudi bekerjasama dalam perkara tersebut dan selepas ini berharap pusat kecemerlangan itu akan berjaya membangunkan sukan air di Terengganu,” katanya.