
Tinjauan “Perceptions and Realities: The Public and Personal Rights of Muslims in Malaysia” mendapati 97% wanita bersetuju mereka mesti patuhi suami dan kepatuhan itu menetapkan wanita itu sebagai seorang “isteri yang baik”.
“Kewajipan tanpa kompromi untuk mematuhi suami itu membawa kepada banyak keadaan di mana isteri tidak mengambil kira bahaya atau ketidakadilan yang mungkin dilakukan terhadap mereka,” kata SIS.
Sebanyak 21% daripada 675 responden percaya seorang suami boleh memukul isteri, memetik konsep “nusyuz”, atau keengganan mematuhi kehendak atau perintah suami.
Ini termasuklah keluar rumah tanpa izin atau enggan bersetubuh.
SIS berkata memukul isteri bertentangan dengan prinsip Al-Quran, mengatakan Nabi Muhammad “tidak pernah memukul isterinya dalam apa jua keadaan”.
Sementara itu, kira-kira 70% responden terima suami berhak mengamalkan poligami, tetapi hanya kalau dia boleh melayan semua isteri dengan adil.
Bagaimanapun, hanya 32% responden akan membenarkan suami berkahwin lain.
Namun begitu, kira-kira 92% setuju wanita berhak minta cerai dalam apa jua keadaan.
Mengenai pemakaian hijab, 90% responden merasakan pemakaian tudung wajib untuk wanita beragama Islam, walaupun 62% juga percaya bahawa tidak memakai hijab adalah sesuatu yang boleh diterima.
Tinjauan juga mendapati tredapat “keperluan” untuk memaparkan imej “wanita Islam yang baik”, dari segi kelakuan dan pemakaian, bagi mengelakkan persepsi negatif orang lain.
Keperluan untuk mengikut norma-norma dan jangkaan masyarakat masih dominan, dengan 80% bersetuju mereka berdepan cabaran dalam menyesuaikan diri.
“Dan 59% mengalami pengawasan moral dan kecaman umum,” kata laporan itu.
SIS berkata tinjauan menunjukkan usaha yang lebih hebat diperlukan untuk mengangkat wanita sama dengan lelaki.
Tinjauan itu, dijalankan antara 2018 dan 2019 oleh firma penyelidik Ipsos, menemubual wanita berusia antara 18 dan 55. Ia dijalankan dalam dua fasa.