
Katanya, Sosma perlu diperbaiki dari semasa ke semasa bagi mengelakkan ia disalahgunakan.
Beliau memberi contoh penyalahgunaan Sosma atas penahanan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah selama 10 hari sebelum perhimpunan Bersih 5 pada 2016.
“Tindakan itu tak patut. Oleh itu Sosma perlu dikemas kini,” katanya di lobi Parlimen hari ini.
Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, Kementerian Dalam Negeri sedang mengkaji untuk mengemas kini Sosma, tetapi beliau tidak tahu bila ia akan dibentangkan kepada Kabinet.
Ahad lalu, Presiden PKR, Anwar Ibrahim dilaporkan bersetuju dengan tindakan polis menahan beberapa individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan LTTE.
Namun katanya, penahanan itu tidak patut dibuat di bawah Sosma yang disifatkannya terlalu keras.
Minggu lalu, Exco Melaka yang juga Adun Gadek, G Saminathan dan Adun Seremban Jaya, P Gunasekaran bersama dua ahli DAP Melaka antara 12 individu ditahan polis pada Khamis serta Sabtu lalu kerana disyaki ada kaitan dengan LTTE.
LTTE disenarai hitam sebagai kumpulan pengganas di Malaysia sejak 2014.
Pada 18 Feb lalu, Putrajaya dilaporkan bersetuju membayar ganti rugi RM25,000 kepada Chin yang juga bekas pengerusi Bersih atas penahanan tidak sah di bawah Sosma.
Chin memfailkan saman terhadap ketua polis negara, menteri dalam negeri dan kerajaan Malaysia pada 6 Ogos 2018 atas dakwaan penahanan salah di bawah Sosma pada Nov 2016.