Sosma dan pengganas

Sosma dan pengganas

Siapa yang dianggap pengganas? Apa mekanisme digunakan bagi mengklasifikasikan sesuatu kumpulan sebagai pengganas?

Saya tak mahu mengulas tentang kumpulan mana yang dianggap sebagai ‘pengganas’. Ia rumit. Kerana kita memiliki senarai kumpulan pengganas yang berbeza-beza, mengikut interpretasi pemerintah.

Kebanyakan negara akan menyenaraikan kumpulan yang dianggap sebagai pengganas supaya diketahui umum. Sebagai contoh, seperti disiarkan oleh kerajaan Australia di laman web rasmi. Senarai yang selalunya dirujuk, adalah senarai dikeluarkan oleh Kesatuan Eropah (EU).

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pula tidak memiliki senarai penuh kumpulan pengganas, melainkan satu dokumen dipanggil sebagai UN 1267 Regime List, yang menyenaraikan Al-Qaeda (dan kumpulan-kumpulan yang terasosiasi dengannya) dan Taliban.

Saya sendiri tidak pasti mekanisme apa yang digunakan oleh kerajaan Malaysia untuk mengklasifikasikan sesebuah kumpulan itu sebagai kumpulan pengganas, dan ini juga pada saya, merupakan kegagalan kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (dari ‘Malaysia lama’ hinggalah ‘Malaysia baru’).

Ketiadaan senarai yang jelas, yang sepatutnya dilampirkan bersama dalam undang-undang keselamatan, menjadikan kerajaan bebas mengklasifikasikan sesiapa sahaja atau mana-mana kumpulan sebagai ‘pengganas’.

Saya cuba mencari senarai dikeluarkan kerajaan Malaysia, tetapi gagal. Sekiranya ada, mohon kongsikan.

Kegagalan untuk menghebahkan senarai kumpulan yang dianggap pengganas, memberi kesan besar kepada orang awam. Sekiranya tidak ada, mekanisme apa yang digunakan kerajaan? Atau kita juga menggunakan senarai sedia ada seperti yang dikeluarkan Kesatuan Eropah dan AS?

Jika dilihat dalam hampir semua senarai kumpulan pengganas, termasuk yang dikeluarkan oleh EU dan CIA; Hamas berada di dalamnya. Adakah ini bermaksud, rakyat Malaysia yang menzahirkan sokongan kepada Hamas boleh ditangkap dan dianggap sebagai menyokong kumpulan pengganas? Anda mungkin terkejut, tetapi tidak mustahil ia boleh berlaku.

Manakala EU pula telah mengeluarkan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), kumpulan yang banyak diperkatakan kini, dari senarai kumpulan pengganas mereka tetapi tetap mengekalkan Hamas di dalamnya.

Jangan salah faham. Tulisan ini bukan untuk menghukum mana-mana kumpulan sebagai pengganas. Sudah pasti yang membaca dengan emosi akan mengatakan saya cuba mempertahankan kumpulan seperti LTTE. Tuduhan menyokong kumpulan pengganas kerana tidak bersetuju dengan undang-undang keselamatan sedia ada ini bagi saya perkara biasa. Tetapi untuk lebih jelas, saya bersama teman-teman dalam masyarakat sivil telah sekian lama mengkritik undang-undang keselamatan sedia ada, sejak dari awal penggubalannya.

Pihak Counter Terrorism Cawangan Khas lebih arif bab ini. Yang kita minta adalah supaya ia jelas! Siapa yang dianggap pengganas? Apa mekanisme digunakan bagi mengklasifikasikan sesuatu kumpulan sebagai pengganas?

Persoalan ini penting, kerana rata-rata rakyat Malaysia tidak tahu kumpulan mana yang dianggap sebagai ‘pengganas’!

Perang di Syria sebagai contoh; ketika IS mula-mula muncul, ramai rakyat yang menzahirkan simpati dan sokongan. Melihat rumah-rumah di bom, isteri-isteri dirogol, anak kecil terbunuh, mereka ini muncul dicelah-celah kegilaan ini seperti wira. Apatah lagi mereka membawa slogan dan simbol-simbol agama. Rakyat bawahan yang tidak punya akses maklumat yang cukup, telah, tanpa ketahuan, menzahirkan sokongan kepada mereka. Lalu ditangkap.

Apa itu Sosma?

Dari sini, tulisan ini mungkin akan sedikit teknikal. Saya akan cuba untuk tidak meleret dan menggunakan bahasa yang mudah.

Sebelum nama LTTE mucul, majoriti yang ditahan di bawah undang-undang keselamatan termasuk Sosma, adalah mereka yang dikaitkan dengan kumpulan pelampau Islam.

Majoriti yang ditahan di bawah Sosma adalah mereka yang tidak punya pendidikan agama formal; malah mungkin tidak memahami keadaan politik di Timur Tengah; dan tidak tahu bahawa kumpulan yang mereka sokong dikategorikan sebagai pengganas. Ramai di antara mereka ditahan kerana menyumbang sekecil-kecil RM50 kepada tabung kumpulan dianggap pengganas, ataupun mereka yang menyimpan gambar atau video kumpulan pengganas di Timur Tengah.

Mengikut penyelidikan dilakukan, majoriti ditahan bolehlah dianggap sebagai ‘soft supporter’, yakni mereka yang tidak punya niat bergabung dengan kumpulan pengganas, tetapi menzahirkan sokongan dengan cara-cara tertentu. Ada pula di antara mereka yang teradikalisasi di dalam tahanan apabila bertemu dengan kumpulan ‘hardcore supporter’, yang memang benar-benar terpengaruh dengan kumpulan-kumpulan ini.

Sosma telah digubal pada 2012 bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Sosma merupakan satu akta prosedur. Ia bukanlah sebuah akta yang digunakan untuk mendakwa seseorang. Bahasa mudahnya, ia akta bagi menahan seseorang.

Sekiranya anda ditahan; sebagai contoh kes curi motor, anda boleh didakwa di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan. Namun Kanun Keseksaan diguna untuk mendakwa anda, bukan untuk menahan anda. Prosedur yang digunakan bagi menahan anda untuk tujuan siasatan dipanggil Akta Kanun Tatacara Jenayah. Kuasa undang-undang prosedur adalah untuk menahan, proses penyiasatan, reman, perbicaraan, ikat jamin dan bon.

Nah, begitu lah Sosma. Ia undang-undang prosedur, bukan undang-undang jenayah atau sivil.

Kebiasaannya, sekiranya anda disiasat dibawah Kanun Keseksaan, prosedur yang digunakan adalah Akta Kanun Tatacara Jenayah. Namun sekiranya anda disiasat di bawah Bab VI Kanun Keseksaan (Kesalahan-kesalahan Terhadap Negara), Bab VIA Kanun Keseksaan (Kesalahan-kesalahan Berkenaan dengan Keganasan), dan Bab VIB Kanun Keseksaan (Jenayah Terancang), anda boleh ditahan menggunakan prosedur Sosma.

Undang-undang lain yang boleh menggunakan prosedur Sosma adalah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), serta Akta Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara 2015 (SMATA).

Prosedur penahanan di bawah Sosma

Sekiranya seseorang ditahan di atas kesalahan membunuh, di bawah prosedur Kanun Tatacara Jenayah, maksimum reman untuk suspek adalah selama 14 hari (7 hari + 7 hari). Namun pihak polis perlu membawa suspek ke mahkamah majistret, dan membuat hujahan bagi menjustifikasikan mengapa suspek perlu direman sebelum hakim membenarkan reman dibuat. Maksimum adalah selama tujuh hari. Pihak polis perlu sekali lagi membawa suspek ke mahkamah majistret untuk menyambung reman.

Tamat 14 hari tahanan reman, suspek mestilah sama ada dibebaskan, atau didakwa di mahkamah.

Namun sekiranya anda disiasat di bawah mana-mana undang-undang sama ada Bab VI, Bab VIA, Bab VIB Kanun Keseksaan, Atipsom atau Smata, anda bolehlah ditahan menggunakan prosedur Sosma. Anda akan pertamanya direman selama 28 hari. Pihak polis tidak perlu melakukan hujahan di mahkamah majistret. Sudah cukup seorang pegawai polis berpangkat Superitenden (atau lebih) untuk melanjutkan tahanan anda.

Selepas tempoh reman tamat, suspek mestilah dibebaskan, atau didakwa di mahkamah. Sekiranya suspek didakwa, tidak ada ikat jamin boleh diberikan sepanjang proses perbicaraan berlangsung. Sungguhpun suspek menang di mahkamah tinggi, pihak pendakwaan boleh terus merayu (dan hakim mestilah membenarkan rayuan), untuk membawa kes suspek ke mahkamah rayuan.

Tempoh perbicaraan boleh berlangsung selama lima tahun. Bermakna, sekiranya anda tidak bersalah, atau pihak polis dan pendakwaan tidak cukup bukti untuk menyabitkan anda sebagai bersalah, anda akan terus ditahan di penjara untuk sekurang-kurangnya lima tahun! Ini membuatkan ramai tertuduh mengaku bersalah dengan harapan dibebaskan lebih awal dari lima tahun.

Terdapat banyak kes yang direkodkan, selepas tamat tempoh reman selama 28 hari, yang mana suspek sepatutnya didakwa di mahkamah, atau dibebaskan, telah ditahan pula dibawah tahanan reman selama 60 hari di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca).

Malah ada pula yang ditahan di bawah tahanan reman 60 hari di bawah Akta Pencegahan Keganasan (Pota), selepas melalui reman Sosma dan Poca!

Bukan itu sahaja. Kes Siti Noor Aishah sebagai contoh, beliau telah didapati tidak bersalah oleh mahkamah tinggi selepas hakim mendapati bahawa tidak ada asas tuduhan ke atasnya. Hakim telah mengarahkan secara lisan agar beliau dibebaskan segera. Keluar dari mahkamah, Siti Noor Aishah telah ditahan pula di bawah Poca.

Pihak Suaram, pada awal 2016 telah mendedahkan bahawa berlaku penyeksaan dahsyat sepanjang tahanan ditahan reman selama 28 hari di bawah Sosma. Ia dibuat selepas Suaram menerima surat yang ditulis oleh tahanan Sosma berkaitan keadaan yang dihadapi oleh mereka di dalam tahanan.

Di antara jenis penderaan yang ditulis, ada di antara tahanan dipukul dengan tangan bergari, dipukul di kepala, dipaksa berdiri separa duduk sepanjang proses soal siasat, dipukul jika kenyataan diberikan tidak selari dengan apa yang dimahukan pegawai penyiasat, kepala dipijak dengan kaki, tidak dibenarkan menghubungi peguam dan keluarga, diugut akan ditembak, dipaksa mencium kaki pegawai penyiasat, dipaksa melancap, dipaksa menonton filem porno, malah ada juga yang dipaksa melafaskan cerai terhadap isteri.

Ada tahanan yang diugut, isterinya akan dihantar ke Kemboja dan dijadikan pelacur, dan ada isteri tahanan yang dikatakan menerima gangguan seksual.

Sehingga hari ini, selepas laporan polis dibuat, termasuk laporan kepada Suhakam, tidak ada tindakan diambil. Malah kami masih juga menerima laporan berkaitan penderaan yang berlaku di dalam tahanan.

Malah keadaan dalam bilik tahanan itu sendiri amat buruk. Tahanan akan diletakkan berasingan dalam bilik kecil, dengan lampu dipasang 24 jam, yang membuatkan tahanan tidak tahu masa, dan ini juga satu bentuk penderaan mental.

Perlu diingatkan ini semua berlaku ketika proses reman, di mana tahanan masih belum dibuktikan sebagai bersalah!

Bersambung…

Amir Abd Hadi adalah Penyelaras Projek Kanan Suaram.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.