Lembaga FIC tak setuju teruskan pembelian hotel, kata saksi

Lembaga FIC tak setuju teruskan pembelian hotel, kata saksi

Bekas setiausaha syarikat berkata ahli lembaga pengarah bersetuju dengan cadangan pengurusan syarikat untuk tidak meneruskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu ahli lembaga pengarah Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) bersetuju dengan cadangan pengurusan syarikat berkenaan untuk tidak meneruskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak pada RM160 juta.

Bekas setiausaha syarikat FIC Ruzeti Emar Mohd Rosli, 45, berkata pengurusan syarikat tidak mahu meneruskan pembelian MPHS kerana ia mengambil masa 27 tahun untuk mendapatkan keuntungan.

“Perkara itu berdasarkan pembentangan status terkini cadangan pembelian MPHS oleh bekas ketua pegawai eksekutif FIC Mohd Zaid Abdul Jalil dalam mesyuarat lembaga pengarah FIC kali kelapan pada 26 Februari 2014.

“Mengenai penilaian ke atas MPHS, kos keseluruhannya RM137,640,965.89. ‘Internal Rate of Return’ (Kadar Pulangan Dalaman) 5.99 peratus dan ‘Average Return of Investment’ (Purata Pulangan Pelaburan) 3.44 peratus serta mengambil masa selama 27 tahun untuk mendapatkan keuntungan,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-14 berkata demikian ketika membaca penyataan saksi pada hari kelima perbicaraan kes pecah amanah dan rasuah RM3 juta bekas pengerusi Felda Mohd Isa Samad berhubung pembelian MPHS oleh FIC di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Terdahulu, ketika disoal balas peguam Salehuddin Saidin, yang mewakili Isa, saksi pendakwaan ke-13, Wong Siew Yeen, 49, yang juga merupakan bekas setiausaha syarikat FIC memberitahu pembelian MPHS mendapat persetujuan sebulat suara daripada ahli lembaga pengarah FIC pada mesyuarat 3 Sept 2013.

Wong bersetuju dengan cadangan Salehuddin bahawa tiada bantahan yang dikemukakan oleh ahli lembaga pengarah FIC semasa cadangan itu dibentangkan oleh CEO FIC ketika itu.

Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan Salehuddin bahawa ahli lembaga pengarah FIC boleh menyuarakan bantahan mereka berhubung cadangan yang dikemukakan oleh CEO sekiranya ada, namun tiada sesiapa berbuat demikian.

FIC, anak syarikat Felda membeli MPHS pada 2015 dengan harga RM160 juta.

Isa, 70, menghadapi satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang didakwa dilakukan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 11 Dis 2015.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.