Kelayakan Euro 2020: England benam Bulgaria 6-0, dicemari cemuhan rasis

Kelayakan Euro 2020: England benam Bulgaria 6-0, dicemari cemuhan rasis

Skuad kendalian Gareth Southgate belasah Bulgaria 6-0 dalam perlawanan yang penuh dengan emosi.

Harry Kane berbincang dengan pengadil Ivan Bebek ketika perlawanan dicemari insiden cemuhan rasis. (Gambar AP)
SOFIA:
Kemenangan England ke atas Bulgaria dalam dalam kelayakan Euro 2020 di sini dicemari insiden rasis yang memalukan sehingga pegawai kejohanan menghentikan perlawanan sebanyak dua kali, dengan niat melakukan penangguhan.

Skuad kendalian Gareth Southgate membelasah lawan 6-0 dalam atmosfera yang dianggap penuh ‘toksik’ sepanjang perlawanan.

Insiden cemuhan berbaur perkauman dari penyokong Bulgaria tetap berlaku walaupun sebahagian daripada tempat duduk di Stadium Vasil Levski sudah ditutup kerana insiden sama pada Jun lalu.

Tyrone Mings yang tampil buat kali pertama untuk negaranya, adalah antara mangsa terawal.

Mings berhadapan dengan penyokong tuan rumah selepas mendengar cemuhan perkauman ditujukan ke arahnya.

Pengadil Ivan Bebek terpaksa menghentikan perlawanan pada minit ke-28 selepas Raheem Sterling turut menjadi mangsa selepas itu.

Babak pertama terpaksa dilanjutkan beberapa minit selepas perlawanan dihentikan, dan pegawai perlawanan terpaksa memberi amaran kepada penyokong tuan rumah, sesuai dengan protokol oleh UEFA mengenai cara mengendalikan isu perkauman ketika perlawanan.

Walaupun mengalami masalah penyokong tuan rumah, ia langsung tidak menjejaskan aksi The Three Lions di atas padang.

Marcus Rashford menjaringkan gol pembukaan untuk England.

Ini diikuti oleh tolakan mudah oleh Ross Barkley, dan tandukan oleh Kieran Trippier untuk melebarkan kedudukan kepada 3-0.

Sterling turut menyempurnakan peluang terhidang dengan mudah untuk England mendahului 4-0 pada babak pertama.

Sterling kemudiannya menunjukkan tiada rasa simpati kepada penyokong tuan rumah dengan gol kedua peribadi dalam perlawanan ini untuk England mendahului 5-0.

Harry Kane melengkapkan kemenangan bergaya England pada minit ke-85 perlawanan.

Berbaki dua lagi perlawanan di pusingan kelayakan, England kini kekal mendahului Kumpulan A dengan 15 mata dan berada di landasan terbaik untuk melayakkan diri ke kejohanan Euro 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.