
Timbalan Menteri Dalam Negeri Azis Jamman berkata keputusan itu dibuat memandangkan perjuangan DAP tidak melanggar mana-mana peruntukan dan undang-undang.
“Sebagaimana saya sebutkan, agenda ‘Malaysian Malaysia’ yang di sebut YB (Kuala Nerus) sebentar tadi dari kerajaan terdahulu juga mereka tidak menyebut ianya menyalahi peraturan dan perkara sama dilakukan kerajaan hari ini, tidak ada menyatakan agenda ‘Malaysian Malaysian’ itu salah.
“Selagi mana pertubuhan tersebut tidak melanggar mana-mana peruntukan di bawah Akta 335 dan undang-undang berdaftar pertubuhannya serta menjalankan aktiviti selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, maka pertubuhan tersebut boleh bergerak aktif.
“Namun, sekiranya didapati sebaliknya, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) boleh mengambil tindakan di bawah Akta 335 yang boleh menjurus ke arah pembatalan sesebuah pertubuhan berdaftar berkenaan,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) sebab-sebab pembatalan dan penggantungan sesebuah pertubuhan dan menjelaskan status pertubuhan yang memperjuangkan agenda “Malaysian Malaysia”.
Khairuddin juga mempersoalkan mengapa kerajaan masih tidak membatalkan pendaftaran DAP yang didakwa bertentangan dengan akta pertubuhan di mana perjuangan parti itu mengiktiraf kebebasan agama tanpa mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi.
Azis menjelaskan DAP didaftar sejak sekian lama dan jika pertubuhan parti itu melanggar undang-undang ia telah dibatalkan oleh kerajaan Barisan Nasional.